Pemimpin Pas Perlis didakwa menghina kuasa raja pemerintah dan badan agama Islam negeri

Pemimpin Pas Perlis didakwa menghina kuasa raja pemerintah dan badan agama Islam negeri

 

Yang Dipertua PAS Kangar, Yussaine Yahya, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Perlis hari ini, atas pertuduhan menghina kuasa raja pemerintah dan badan agama Islam negeri menerusi penganjuran ceramah agama tanpa tauliah di Kangar pada 30 Mac lalu.

Tertuduh yang berusia 43 tahun hanya mengangguk faham dan membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Syariah, Mohamad Zaidi Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga mudir maahad tahfiz al-Quran di Kangar, didakwa menganjurkan satu ceramah agama dengan menjemput pendakwah bebas, Mohamad Wadi Anuar Ayub, melalui program ‘Solat Terawih dan Sembang Santai’ tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis berdasarkan Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006.

Selain itu juga perbuatan yang dilakukan turut bertentangan dengan Titah Kenyataan Rasmi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengenai Pematuhan Terhadap Dasar dan Peraturan Berkaitan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis.

Tertuduh didapati melakukan perbuatan berkenaan antara jam 8.30 malam hingga 10.30 malam di Maahad Tahfiz al-Quran Al Imam An Nawawi (MATIN) di Kampung Abi Padang Machang, Jalan Abi Batas Paip, Kangar pada 30 Mac lalu.

Oleh hal demikian tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 38 Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 kerana menghina kuasa Raja Pemerintah dan Badan Agama Islam yang lain.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Ketua Pendakwa Syarie, Siti Fatimah Ahmad Maulana, manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Hajar Ahmad dan Nur Iman Nor Azmi.

Siti Fatimah dalam pendakwaannya memohon mahkamah supaya memberi jaminan sebanyak RM2,500 dengan dua penjamin dimana salah seorang daripadanya adalah dalam kalangan penjawat awam.

Namun permohonan itu dibantah peguam bela tertuduh yang melihat bahawa tiada relevannya permohonan jaminan yang dikemukakan pendakwa raya, terutama dalam memerlukan salah seorang penjamin itu sebagai penjawat awam.

Pasukan peguam turut memohon agar jaminan tertuduh dapat dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pasukan peguam tertuduh untuk tertuduh dijamin sebanyak RM2,000 dengan dua orang penjamin.

Tertuduh kemudian membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Selain itu juga, mahkamah menetapkan 18 Januari tahun hadapan untuk perbicaraan semula kes.

Terdahulu, lebih 50 penyokong Yussaine berkumpul di perkarangan mahkamah syariah itu sejak jam 8 pagi bagi menunjukkan spkongam dan solidariti kepada Yussaine sebelum prosiding mahkamah bermula sejam selepas itu.

Suasana bagaimanapun terkawal dengan kehadiran anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar.

Sebelum ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) ada memanggil pendakwah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar serta penganjur, Lajnah Dakwah dan Perkaderan Pas Kangar untuk memberi keterangan berhubung penyertaan pendakwah itu pada program berkenaan yang diadakan tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Perlis pada 30 Mac lalu.

Ini berikutan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kangar oleh JAIPs selepas anggota penguat kuasa mereka dihalang oleh penganjur daripada bertemu dengan Ustaz Wadi yang mahu mengambil keterangan berhubung tindakan memberi ceramah di negeri ini.