Pemimpin politik Sabah anggap Hishamuddin terlalu lembik untuk tangani provokasi China

Pemimpin politik Sabah anggap Hishamuddin terlalu lembik untuk tangani provokasi China

Kerajaan perlu memandang serius insiden pencerobohan sempadan yang dilakukan oleh China sebagai pencabulan kedaulatan sesebuah negara, kata bekas Ketua Menteri Sabah, Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, kehadiran hampir 100 kapal China memasuki perairan Laut China Selatan yang dituntut Filipina memberi mesej jelas bahawa negara itu serius mahu menguasai perairan tersebut.

“Pada 1 Jun lalu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia di Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional.

“Selepas empat hari insiden 16 pesawat China memasuki ruang udara Malaysia, kapal pengawal pantai China pula didakwa berada berdekatan Beting Patinggi Ali, Sarawak.

“Pencerobohan seumpama ini tidak boleh dipandang ringan dan insiden ini seharusnya menjadi peringatan bagi negara kita agar sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan,” katanya kepada pemberita.

Beliau menganggap tindakan itu membimbangkan, seterusnya kerajaan digesa segera mengeluarkan nota bantahan kepada China dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung aktiviti ketenteraan Beijing di perairan Laut China Selatan kebelakangan ini.

Menurutnya, tindakan kerajaan China menunjukkan “kekuatan tentera atau penguasaan” di kawasan perairan Laut China Selatan adalah perkembangan yang amat membimbangkan.

“Malah keputusan terbaharu kerajaan China untuk menetapkan semua kapal asing yang memasuki Laut China Selatan dengan melaporkan butiran tertentu, termasuk muatan kargo, dengan pihak berkuasa maritim China akan mengundang pelbagai reaksi negatif.

“Apa juga aktiviti “membuli” daripada segi ketenteraan atau ‘military bullying’ tidak seharusnya berlaku. Walaupun isu ini agak rumit tetapi saya percaya perkara ini masih boleh diselesaikan melalui saluran diplomatik,” ujarnya.

Salleh dalam pada itu juga menyelar tindakan Amerika Syarikat yang disifatkan sebagai provokasi sehingga mengancam keselamatan Malaysia dan rantau Asia.

“Kehadiran kapal laut dan udara tentera Amerika Syarikat secara besar-besaran untuk mengadakan latihan kebebasan navigasi di Laut China Selatan dilihat…sebagai provokasi dan ancaman keselamatan.

“Tindakan China dan AS itu pasti memberi impak yang serius kepada isu keselamatan di rantau ini, malah ia juga merupakan ancaman terhadap kebebasan perairan antarabangsa dan negara serantau.”

Sumber – FMT