Pemimpin pro PN DAP tewas pemilihan

Pemimpin pro PN DAP tewas pemilihan

Ahli Parlimen Damansara Tony Pua mengaku terkejut kerana gagal mendapat tempat dalam jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP dengan berkata, beliau tidak menjangkakan akan terlepas kedudukan dalam kepimpinan tertinggi secara keseluruhannya.

Pua berkata, beliau kecewa dengan keputusan perwakilan DAP itu tetapi menegaskan bahawa beliau tidak menyesal menjadi ahli CEC sepanjang 14 tahun lalu.

Katanya, sejak menjadi sebahagian daripada CEC bermula 2008, beliau telah berusaha untuk menarik golongan muda dan berbakat untuk menyertai parti itu dan meningkatkan kualiti wakil rakyat DAP.

“Mungkin semangat saya dalam meningkatkan kualiti wakil rakyat kita mendatangkan kesan dan menyinggung perasaan sesetengah pihak dalam parti, terutamanya di Selangor yang menyaksikan pertama kali saya tewas dalam pemilihan jawatankuasa parti pada 2018.

“Bagaimanapun saya tidak menyesal sama sekali dalam memberi peluang kepada golongan muda dan berbakat, yang akhirnya akan menjadi asas kepada masa depan parti.

“Walaupun saya tidak menjangka akan mendapat undian yang terlalu tinggi hari ini (Ahad), saya juga tidak menjangka akan terlepas tempat, terutamanya dalam CEC yang diperbesarkan. Sudah pasti ia mengecewakan, tetapi saya menerima keputusan perwakilan parti dengan hati terbuka,” katanya dalam kenyataan.

Bekas setiausaha politik Lim Guan Eng itu berkata, beliau telah memberitahu setiausaha agung yang baru dipilih Loke Siew Fook bahawa beliau tidak bersedia menjadi ahli CEC yang dilantik kerana secara jelasnya perwakilan tidak mahukannya dalam kepimpinan tertinggi.

Beliau menggesa ahli dan penyokong DAP memberikan sokongan kepada Loke yang mengambil jawatan tertinggi daripada Lim selain menyuarakan keyakinannya bahawa Ahli Parlimen Seremban itu akan memimpin parti untuk membentuk kerajaan pusat sekali lagi.

Pua dan Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming yang menyokong kerjasama politik dengan kerajaan Muhyiddin Yassin tahun lalu gagal mempertahankan tempat dalam CEC DAP dalam pemilihan parti semalam.

Pua yang juga ketua publisiti kebangsaan DAP, memperoleh 744 undi manakala Ong, iaitu penolong pengarah pendidikan politik kebangsaan DAP, memperoleh 535 undi.

Mereka ketinggalan jauh di belakang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Jannie Lasimbang, yang mendapat tempat ke-30 dengan 877 undi.