Pemimpin Umno gesa MB Perlis letak jawatan

Pemimpin Umno gesa MB Perlis letak jawatan

 

Pemimpin pusat Umno Mohd Puad Zarkashi menggesa Menteri Besar Perlis Shukri Ramli meletakkan jawatan susulan pertuduhan tuntutan palsu terhadap anaknya Mohd Syafeeq.

“Jawapan standard PAS nanti ialah mereka belum didapati bersalah. Maka tidak ada sebab MB Perlis letak jawatan atau kosongkan kerusi DUN Sanglang.

“Lagi pun bukan MB Perlis yang kena dakwa. Dia pun tidak pertahankan perbuatan anaknya.

Semua itu jawapan hipokrit,” kata Puad.

Syafeeq hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan tuntutan palsu lebih RM19,000 untuk projek bekalan minuman untuk Raja Perlis di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Dalam kenyataan malam tadi, kira-kira 12 jam sebelum pertuduhan padi ini, Puad berkata pentadbiran Shukri begitu lemah.

Katanya, kontroversi itu mungkin tidak akan berlaku jika Shukri tidak menjadi menteri besar.

“Apa pun Shukri wajar letak jawatan. Tidak patut anak dan setiausaha politik melakukan perkara jenayah sebegitu,” katanya.

Dia juga menyindir dengan berkata “mujur Perlis negeri miskin”.

“Mujur Perlis negeri miskin dan tidak ada sebarang projek mega yang boleh dicuri ‘songlap’.

“Dengan pentadbiran yang lemah dan mudah ditipu, Perlis akan bertambah mundur,” katanya.

Ketika dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar, Syafeeq mengaku tidak bersalah.

Dia dituduh membuat tuntutan dengan niat memperdayakan prinsipalnya ketika dia mempunyai sebab untuk percaya bahawa ia mengandungi butir matan palsu, pada 19 Feb lalu.

Pertuduhan dibuat bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 (yang mana lebih tinggi).

Mahkamah membenarkan Mohd Syafeeq diikat jamin RM20,000 dan perlu melapor diri di Pejabat SPRM berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.