Pemimpin Umno ‘kluster mahkamah’ jangan guna ugutan keluar PN, kata pemimpin Bersatu

Pemimpin Umno ‘kluster mahkamah’ jangan guna ugutan keluar PN, kata pemimpin Bersatu

Pemimpin Umno yang sedang melalui perbicaraan di mahkamah dinasihatkan supaya jangan melakukan ugutan politik mahu keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Bersatu Kepong, Norizan Ali dipetik Sinar Harian berkata demikian, menegaskan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah berulang kali mengingatkan tidak akan campur tangan kehakiman dan meminta mereka didakwa membersihkan nama di mahkamah.

“Dalam hal ini, Umno seharusnya berjiwa besar serta berlapang dada menerima keadaan yang berbeza berbanding sewaktu Barisan Nasional (BN) berkuasa dahulu dengan tidak terus mengamalkan budaya politik ugut dan seumpamanya.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini yang ditunjangi Bersatu pimpinan Muhyiddin dibentuk semata-mata untuk kepentingan Melayu dan Islam serta bagi menyelamatkan negara.

“Kerajaan ini tidak dibentuk untuk menyucikan dosa-dosa pemimpin Umno yang masih ada kes mahkamah atas pelbagai kesalahan yang telah mereka lakukan sebelum ini,” katanya.

Norizan juga menggesa pemimpin Umno yang memiliki kes di mahkamah supaya mengambil teladan perjuangan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang pernah berhadapan situasi sama.

Katanya, Anwar bukan setakat sanggup “melalui proses perbicaraan” malah turut bersedia dipenjarakan.

Gambar fail, perbicaraan Anwar Ibrahim.

 

“Pemimpin Umno seharusnya belajar dan mengambil iktibar daripada ketabahan Anwar…

“Disebabkan ketabahan dan keyakinan yang ditunjukkan oleh Anwar itu, parti dan dirinya tetap diterima rakyat dalam pilihan raya.

“Seharusnya pemimpin Umno yang sedang berdepan kes mahkamah juga mengambil pendekatan yang sama seperti ditunjukkan Anwar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

“Seperti mereka selalu menyebut berjuang untuk agama, bangsa dan negara, inilah masanya untuk pemimpin Umno termasuk yang ada kes mahkamah untuk membuktikan kata-kata tersebut dan bukannya berjuang untuk membebaskan diri daripada masuk penjara,” katanya lagi.

Antara pemimpin Umno yang sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak; Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 189 daripada 191 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRU ke-15 dan usul ini bakal dibahas pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang  mana sebelum proklamasi darurat dijadual bakal berlangsung hujung Jan ini.

Bagaimanapun, setiausaha agung BN yang disingkir, Annuar Musa menyangkal angka itu dan mendakwa berdasarkan maklumat yang diterimanya, hanya 99 bahagian yang membuat keputusan itu.

Pada 12 Jan lalu, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Nazri Aziz menjadi ahli parlimen terbaru menarik sokongannya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Nazri mengikut jejak langkah dua ahli parlimen Umno MP Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, dan MP Machang Ahmad Jazlan Yakob yang dilapor menarik sokongan terhadap PN.

Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/559174