Pemuda AMANAH sedia bentang cadangan grand coalition kepada Majlis Presiden PH
1. Pemuda AMANAH menafikan kenyataan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan, Syukri Razab, yang menyatakan idea Gabungan Besar sebagai idea pra-matang. Sebaliknya, kami menyatakan pendirian Gabungan Besar bukanlah idea baharu pihak pembangkang dan formula terbaik dalam menghadapi kerajaan Muhyiddin, seterusnya menghadapi Pilihanraya umum ke-15.
2. Melalui Pidato Ketua Pemuda kelmarin & Pidato Presiden semalam, Pakatan Harapan sewajarnya memanfaatkan angka 109 yang dibuktikan dalam pengundian Belanjawan 2021 di Parlimen tempoh hari. Dengan ditipu berkali-kali oleh ahli Parlimen UMNO, langkah untuk meneroka idea Gabungan Besar ini sangatlah tepat pada masanya.
3. Platform terbaik dalam mengetengahkan idea Grand Coalition atau Gabungan Besar ini adalah mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan. Sepertimana termaktub dalam Perlembagaan PH, Majlis Presiden PH adalah platform yang tertinggi dalam membuat keputusan mengenai hala tuju Pakatan Harapan.
4. Maka Pemuda AMANAH menawarkan diri untuk membentangkan gagasan cadangan Gabungan Besar ini untuk diteliti dan dibahaskan diperingkat Majlis Presiden Pakatan Harapan.
5. Kita mengharapkan agar perbahasan tentang idea ini mampu menatijahkan keputusan yang tuntas, sekaligus mengukuhkan kedudukan pembangkang untuk memenangi PRU-15.
YB TAQIUDDIN CHE MAN
Timbalan Ketua Pemuda PEMUDA AMANAH Nasional