Pemuda ini terkejut, jadi murung bila tahu kakak sebenarnya ibu kandungnya

Pemuda ini terkejut, jadi murung bila tahu kakak sebenarnya ibu kandungnya

 

Fenomena ibu tunggal bukanlah sesuatu yang baru dalam masyarakat kita. Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia menjadi satu topik yang mengundang perbincangan bila kita bercakap tentang wanita dan keluarga.

Tambah pula, cabaran masa kini yang begitu kuat menyebabkan masalah mereka menjadi semakin meruncing. Fenomena ibu tunggal ini tidak hanya memberi kesan kepada wanita yang berbabit, tetapi juga kepada anak-anak yang di bawah jagaannya.

Pernah terlanjur sehingga melahirkan anak luar nikah, bukan senang seseorang perempuan mahu membesarkan anak lagi-lagi jika si lelaki enggan bertanggungjawab. Lebih mendebarkan lagi adalah detik-detik mahu berterus terang dengan anak apabila mereka dewasa nanti.

Seorang pemuda menerusi kisah di TikTok berkongsikan perjalanan hidupnya yang cukup mengejutkan. Setelah menginjak ke sekolah menengah yang terletak di daerah berbeza, dia mula menumpang tinggal di rumah kakaknya. Malangnya, wanita berkenaan yang sudah berkeluarga seakan-akan tidak suka adiknya tinggal di sana.

Merasa seperti tidak diraikan, pemuda ini nekad mencari rumah sewa untuk tinggal berasingan sebelum mendapat peluang menyambung pelajaran ke universiti. Tiba-tiba merasa rindu, dia pulang menjenguk kampung halaman untuk bertemu dengan ibu ayah.

Kehidupan orang tua itu memang agak senang, bahkan mereka mempunyai beberapa pekerja untuk menguruskan rumah. Pemuda ini semakin rapat dan kerap berborak dengan seorang tukang kebun. Tanpa disangka, pekerja itu terlepas cakap tentang status nasab anak muda berkenaan.

Bertemu sendiri dengan bibik serta saudara lain untuk dapatkan penjelasan lanjut, mereka akhirnya membuka ‘rahsia’ yang sudah lama tersimpan.

Realiti ini benar-benar membuatnya murung cukup lama. Dengan segala maklumat yang dikumpul, pemuda ini cuba menjejaki ayah kandungnya yang sudah 23 tahun menghilangkan diri. Hatinya cukup sedih setelah mendapati si ayah juga sudah berkahwin lain dan mempunyai anak-anak sendiri.

Pemuda ini kemudiannya dikejutkan dengan sebuah DM Instagram daripada anak kepada ayah kandungnya. Tiada niat mengacau kebahagiaan, sebaliknya dia cuma mahu berjumpa sekejap sahaja dengan lelaki itu jika diberikan peluang.

Namun tak lama kemudian, pemilik akaun terbabit telah menyekat (block) Instagramnya, maka mereka telah terputus komunikasi. Jauh di sudut hati, pemuda ini merasa seperti anak yang terbuang kerana ibu dan bapa kandungnya tidak mengambil peduli tentangnya lagi.