Pemuda kantoi guna CCTV skodeng rakan sekerja wanita di tandas pejabat didenda RM4,500
Seorang akauntan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, atas pertuduhan mengaibkan kehormatan rakan sekerja wanita dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) tersembunyi di dalam tandas pejabat syarikat, Selasa lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Chong Soon Hoe, 25, yang mengaku bersalah sejurus dibacakan pertuduhan itu terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Sharda turut memerintahkan tertuduh dikenakan penjara tambahan enam bulan jika gagal melunaskan denda berkenaan, namun lelaki itu membayarnya.
Berdasarkan pertuduhan, Soon Hoe didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 28 tahun dengan cara memasang CCTV dalam plastik tisu di tandas yang akan mengganggu kesantunan mangsa.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis bernombor di Jalan Tun Perak, Melaka Tengah di sini, pada 4.30 petang 7 Mei lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Mengikut fakta kes, mangsa seorang ejen cukai dan bekerja di syarikat terbabit kira-kira setahun setengah melihat CCTV itu tersembunyi di dalam plastik tisu ketika berada di dalam tandas pada hari kejadian.
Apabila memeriksanya menggunakan komputer riba, mangsa mendapati CCTV itu dipasang oleh tertuduh dan terdapat rakaman video dirinya di dalam tandas.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian, manakala tertuduh diwakili peguam, Kent Tan Chow Teng.
Terdahulu, peguam memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk melepaskan tertuduh dengan Bon Berkelakuan Baik berdasarkan peruntukan Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah dan tidak dipenjarakan.
Dalam rayuannya, Chow Teng antara lain tertuduh seorang pemegang ijazah kelas pertama dalam bidang perakaunan, masih muda, tiada rekod kesalahan lampau serta menjaga ibu bapa yang menghidap penyakit darah tinggi serta kencing manis.
Katanya, tertuduh yang juga anak lelaki tunggal keluarga sudah insaf atas kesalahannya selain ingin menyambung pengajian di Singapura serta memohon taraf penduduk tetap di sana.
Pendakwaan bagaimanapun membantah permohonan peguam dan menghujahkan supaya hukuman setimpal dikenakan mengambil kira fakta kes yang diperakui tertuduh.
“Kepentingan awam harus mengatasi kepentingan tertuduh dan hukuman dikenakan dapat memberi pengajaran kepada tertuduh yang menceroboh privasi mangsa agak tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan,” katanya.