Pemuda PAS dakwa Ismail menumpang tuah kebijaksanaan Muhyiddin
Pemuda Pas berpandangan, permuafakatan antara pembangkang dan kerajaan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Isnin adalah hasil legasi kebijaksanaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Pemuda Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya mengucapkan tahniah atas komitmen yang diberikan oleh kedua-dua pihak yang melakukan ‘inovasi politik’ ke atas landskap politik negara.
“Begitulah perancangan ALLAH yang mengatasi perancangan manusia. Hikmah di sebalik Covid-19, siapa sangka ahli politik di tanah air kita sekali lagi boleh bermuafakat di meja rundingan melalui MoU transformasi dan kestabilan politik.
“Saya mewakili Pemuda Pas dan Pemuda PN mengucapkan jutaan terima kasih serta tahniah di atas jiwa besar Perdana Menteri dalam meneruskan legasi ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Pada Isnin, kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) melakar satu sejarah negara dengan memeterai MoU transformasi dan kestabilan politik di Dewan Bankuet, Parlimen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU tersebut merangkumi enam iaitu pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut memuji pihak kerajaan dan pembangkang yang sentiasa berusaha untuk memastikan Undi-18 dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jelasnya, beliau yakin, 3.8 juta bakal pengundi baru akan menghargai komitmen kepimpinan kedua-dua belah pihak yang berjaya dalam inovasi politik tersebut.
Sumber – Sinar Harian