Pemuda Pas lulus usul tubuh sayap muslimatnya sendiri

Pemuda Pas lulus usul tubuh sayap muslimatnya sendiri

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melulus usul cadangan penubuhan Dewan Muslimat Muda dengan mengambil kira Undi18 yang akan berkuatkuasa awal tahun hadapan.

Usul tersebut dibawa Dewan Pemuda PAS Kuala Krau hangat dibahas perwakilan, di mana ia dibantah wakil Dewan Pemuda Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan Pahang.

Timbalan Pengerusi Tetap DPPM Nor Azariza Mohd Alawi ketika mengumumkan pengundian usul tersebut memberitahu usul tersebut disokong 361 perwakilan dan ditolak 177 perwakilan, seperti dilaporkan pirtal akhbar parti mereka Harakahdaily.

Wakil Wilayah Persekutuan menganggap Dewan Muslimat Muda tidak wajar diwujudkan kerana Muslimat sudah ada entiti tersendiri yang sudah dilengkap unit muslimat muda termasuk Ameerah dan Briged Muslimat.

Katanya usaha untuk mewujudkan Dewan Ulamak PAS kawasan yang mensyaratkan 25 orang mengambil masa agak lama.

Wakil Dewan Pemuda PAS Pahang pula berkata, Dewan Muslimat sudah mempunyai entiti tersendiri yang cakna terhadap anak-anak muda dalam kalangan muslimat.

Bagaimanapun ketika menyokong usul tersebut wakil Selangor berkata, PAS perlu ke hadapan bagi mendekati anak-anak muda sesuai dengan kelayakan mengundi sekarang diturunkan kepada 18 tahun.

“Parti lain seperti Umno sudah lama mempunyai Puteri dan begitu juga Bersatu ada Srikandi yang mempunyai hubungan rapat dengan anak-anak muda.

“PAS perlu lebih ke hadapan dalam soal tersebut dengan mengambil kira pimpinan Dewan Muslimat yang ada sekarang kesemuanya berusia lebih 40 tahun,” katanya ketika membahas usul tersebut pada Muktamar DPPM di Port Dickson hari ini.

Muktamar itu diadakan secara fizikal dan hybrid yang menghimpunkan perwakilan dari seluruh negara.

Manakala usul tergempar pula yang dibentang Timbalan Ketua DPPM, Ahmad Fadhli Shaari mengenai pemuda berdiri teguh di belakang Presiden Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai hubungan PAS dengan Umno dan Bersatu.

Usul tersebut diterima sebulat suara selepas dibahas perwakilan dari Selangor dan Alor Gajah Melaka.

Bagaimanapun perwakilan Dewan Pemuda PAS Alor Gajah mahu ditambah baik dengan mengambil kira juga kenyataan Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Man Tuan Ibrahim dan keputusan Majlis Syura Ulama.

Ahmad Fadhli berkata, DPPM berdiri teguh di atas segala keputusan yang telah dan akan diambil presiden mengenai hubungan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.