Pencapaian Sukan Sea pun PAS nak politikkan, akhirnya netizen korek pencapaian Kelantan di SUKMA

Pencapaian Sukan Sea pun PAS nak politikkan, akhirnya netizen korek pencapaian Kelantan di SUKMA

 

Akui kegagalan pasukan negara meraih 40 pingat emas dalam kempen Sukan SEA Kemboja 2023, namun desakan daripada Ketua Pemuda Pas supaya Menteri dan timbalannya memohon maaf, agak janggal.

Exco Sukan dan Kesihatan Pemuda Amanah Nasional, Dr. Mohamed Nashrudin Naharudin mempersoalkan, wajarkah Menteri, Hannah Yeoh dan Timbalan Menterinya, Adam Adli yang baharu enam bulan menerajui kementerian itu dipersalahkan.

“Tidakkah desakan Fadhli Shaari itu agak janggal? Tidak logik seseorang menteri dan timbalannya yang baharu sahaja menerajui kementerian didesak supaya bertanggungjawab dan memohon maaf dengan kegagalan iu.

“Desakan Ketua Pemuda Pas itu juga tidak jelas, iaitu kepada siapa permohonan maaf perlu dibuat? Kepada atlet atau kepada rakyat Malaysia?

“Ia terlihat amat janggal kerana semua atlet yang bertanding biasanya melakukan persediaan sekurang kurangnya dua hingga tiga tahun sebelum temasya berlangsung, di mana segala persiapan program dan polisi dibuat oleh pentadbiran sebelumnya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, Fadhli meminta Hannah dan Adam Adli memohon maaf secara terbuka kepada semua peminat sukan tanah air berikutan prestasi terburuk dipamerkan kontinjen Malaysia dalam sejarah Sukan SEA.

Ujar beliau, selaku peneraju di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Hannah wajib melakukan post mortem, bukan hanya menyalahkan atlet Malaysia yang terpaksa berjuang di bawah keadaan serba kekurangan disebabkan kegagalan ‘master plan’ KBS.

Pada Sukan SEA Kemboja 2023 yang tamat kelmarin, kontinjen negara menduduki tempat ketujuh dan gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan.

Menurut Dr. Mohamed Nashrudin, apa yang jelas, Ketua Pemuda Pas itu sebenarnya ketandusan isu dengan sebolehnya menjadikan prestasi kontinjen kebangsaan pada Sukan SEA 2023 sebagai modal politik murahan.

“Cukuplah Pas menunggang agama. Usah pula sukan menjadi mangsa tunggangan.

“Apapun, saya setuju dengan cadangan untuk kementerian melakukan bedah siasat terhadap prestasi atlet kebangsaan yang saban tahun merudum.

“Namun, usah risau, halatuju sukan prestasi tinggi negara adalah keutamaan dan dalam perhatian Hannah dan Adam Adli,” katanya.

Beliau meminta rakyat Malaysia, tidak kira fahaman politik, agama atau bangsa, sama-sama mendoakan alet negara bangkit kembali.

Katanya, sukan seharusnya menjadi medan menyatukan, bukan dipolitikkan dan jauh sekali untuk perpecahan.