Pencuri ditangkap ketika tidur atas lantai, rupanya mabuk lepas teguk arak tuan rumah
Disangka rakan anak tapi bukan, seorang warga emas baru-baru ini terkejut apabila menjumpai seorang pencuri sedang nyenyak tidur di atas lantai rumahnya gara-gara mabuk minum arak.
Menurut Utusan Online, kejadian yang berlaku di Taman Tanjung, Bahau, Negeri Sembilan itu terjadi kira-kira jam 6.15 pagi, Isnin ketika Sin Kong Men, 66, bangun dari tidur dan ingin keluar bersarapan di sebuah kedai dekat dengan rumahnya.
Polis ambil masa 30 minit untuk kejut suspek bangun
Tambah Sin, sebaik dia melalui bahagian tengah rumah, dia terkejut melihat seorang lelaki sedang terbaring dan seekor anjing hitam pula dilihat sedang menarik bahagian lengan baju lelaki itu.
Keadaan ruang tamu juga menurutnya bersepah dengan terdapat sebuah beg kertas mengandungi dua bilah pisau, pemutar skru, dua botol minuman keras dan sebuah tablet komputer bersama lelaki berkenaan.
Minuman keras dan tablet komputer itu merupakan barangan di rumah ini, saya syak lelaki ini telah minum minuman keras yang ada di dalam kabinet berkaca sehingga mabuk dan tertidur.
“Saya dan anak-anak cuba mengejutkan lelaki ini, namun tidak juga sedar. Tidak lama kemudian polis sampai dan polis juga mengambil masa hampir 30 minit untuk mengejutkan lelaki tersebut,” katanya.
Ketika kejadian berlaku, Sin memberitahu terdapat lebih 10 orang di dalam rumahnya termasuklah anak-anak yang pulang sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Suspek ada 21 rekod jenayah lampau
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, suspek yang berusia 41 tahun itu dipercayai telah memanjat masuk ke dalam rumah dari pagar tepi rumah dan memecah masuk ke dalam melalui pintu belakang rumah yang tidak berkunci.
“Semasa masuk ke dalam rumah suspek dipercayai telah minum minuman keras milik pengadu sehingga mabuk dan tertidur. Semasa pengadu bangun tidur awal pagi, pengadu dapati suspek berbaring di dalam rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Suspek telah ditangkap dan mempunyai 21 rekod jenayah lampau di mana 15 daripadanya merupakan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah dan selebihnya jenayah. Suspek juga merupakan individu dikehendaki bagi kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB),” katanya.
Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Isnin dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.