Pendakwaraya kes 1MDB, Gopal Sri Ram meninggal dunia

Pendakwaraya kes 1MDB, Gopal Sri Ram meninggal dunia

PEGUAM terkemuka Gopal Sri Ram, 79 tahun yang juga bekas hakim persekutuan meninggal dunia tengah hari tadi selepas dirawat di Hospital Gleneagles di Kuala Lumpur sejak beberapa hari lalu.

Memetik The Malaysian Insight, pemergiannya disahkan oleh Timbalan Pendakwaraya Mohamad Mustafa P Kunyalam kepada The Malaysian Insight.

“Ya, dia meninggal dunia di Hospital Gleneagles,” kata Mustafa.

Mustafa juga mengesahkan yang Sri Ram meninggal dunia pada jam 12.15 tengahari.

Dua minggu lepas, Sri Ram dilaporkan di masukkan ke unit rawatan rapi kerana jangkitan paru-paru.

Mendiang adalah pendakwaraya kanan untuk kes perbicaraan 1Malaysia-Tanore melibatkan Najib Razak yang masih berlangsung.

Beliau juga mengetuai pasukan pendakwaan kes korupsi RM1.25 bilion Rosmah Mansor, yang disabit bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Rosmah kini dalam proses rayuan dengan kes akan didengar pada Julai depan.

Sri Ram dilantik mengetuai pendakwaan kes berkenaan oleh bekas peguam negara Tommy Thomas pada 2018.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Batu Road dan seterusnya di Victoria Institution, di Kuala Lumpur.

Selepas tamat persekolahan, beliau sempat menjadi guru mengajar Bahasa Inggeris dan Matematik sebelum kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di England pada 1966.

Beliau diterima sebagai peguam Lincoln’s Inn pada 1969 dan setahun kemudian diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya.

Antara kes ternama melibatkannya adalah sebagai peguam Umno apabila Mahkamah Tinggi pada 1998 mengisytiharkan parti itu haram kerana ahli daripada bahagian tidak berdaftar mengundi pada pemilihan parti 1987.

Apabila Mahkamah Rayuan diwujudkan pada 1994, Sri Ram diberi penghormatan dilantik sebagai hakim rayuan berdasarkan pengalaman luasnya selama menjadi peguam.

Beliau berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Rayuan selama 15 tahun sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau bersara daripada badan kehakiman pada 2010 dan kembali berkhidmat sebagai peguam.

Kes pertamanya sebagai peguam selepas bersara sebagai hakim adalah mewakili Anwar Ibrahim dalam rayuan kes liwat di Mahkamah Persekutuan. – 29 Januari, 2023.