Pendedahan eksklusif! Kerajaan PMX diganggu elemen ‘deep state’?

‘DEEP state’ merupakan istilah yang menggambarkan mengenai kewujudan individu atau sekumpulan individu yang berkuasa bagi menentukan keadaan politik di dalam sesebuah negara.
Lazimnya, pihak dikenali sebagai ‘deep state’ ini mempunyai pengaruh yang boleh melangkaui kuasa kerajaan dibentuk secara demokratik di dalam sesebuah negara.
Jika di luar negara, kumpulan ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk institusi seperti polis, tentera, agensi perisikan atau kumpulan ahli perniagaan.
Manakala di Malaysia pula, kewujudan ‘deep state’ atau negara terpendam ini pernah dikaitkan dengan anggota perkhidmatan awam.
Dakwaan itu berlaku ketika tempoh peralihan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Pada ketika itu, terdapat pimpinan parti dalam kerajaan mendakwa ‘deep state’ menjadi duri dalam daging yang mengganggu usaha perubahan mahu dilakukan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pada masa sama, dakwaan mengenai kewujudan elemen tersebut juga pernah dilontarkan Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Luar.
Beliau dalam temu bual sekitar April 2019, iaitu lebih kurang setahun sebelum pertukaran kerajaan pada 2020, melahirkan kerisauannya terhadap kemungkinan berlaku rampasan kuasa yang berupaya dicetuskan elemen tersebut.
Kenyataan Saifuddin itu dibuat selepas kerajaan terpaksa membuat tindakan menarik balik keputusan bagi menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Dua isu tersebut menunjukkan bagaimana usaha kerajaan bagi melaksanakan dasar dimahukan mengalami kegagalan, didakwa akibat elemen ‘deep state’ yang wujud dalam pentadbiran negara.
Ia juga secara langsung menunjukkan kerajaan ketika itu tidak mempunyai kawalan sepenuhnya dalam proses pentadbiran dan pelaksanaan dasar.
Dalam pada itu, pada minggu lalu, terdapat dua isu timbul yang dilihat memaparkan berlakunya percanggahan pelaksanaan membabitkan dasar yang mahu dijalankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia antara lain membabitkan isu pemasangan papan iklan gergasi dan dakwaan wujudnya kumpulan ‘Napoleon Kecil’ dalam kalangan pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Bagi isu berkaitan pemasangan papan iklan yang memaparkan agenda Kerajaan Madani itu, Anwar berkata, beliau tidak pernah memberikan persetujuan terhadap langkah tersebut.
Katanya, ini kerana pemasangan papan iklan berkenaan tidak seharusnya menggunakan dana daripada kerajaan.
Mengenai dakwaan kewujudan kumpulan ‘Napoleon kecil’ dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, ia dikatakan menjadi punca kepada perbalahan berpanjangan dalam hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri.
Tuduhan tersebut sekiranya benar-benar berlaku dilihat bertentangan dengan dasar pentadbiran Anwar untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk di negeri dikuasai pembangkang.
Kedua-dua perkembangan itu membawa kepada persoalan mengenai kemungkinan wujudnya elemen ‘deep state’ yang menganggu pentadbiran pimpinan Anwar, sama seperti yang didakwa dialami oleh kerajaan PH sebelum ini.
Tambahan pula, ia terjadi ketika wujudnya dakwaan komplot pihak tertentu yang mahu menjatuhkan kerajaan semasa.
Penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, walaupun tidak mustail untuk berlaku, kewujudan elemen ‘deep state’ yang mengganggu perjalanan pentadbiran kerajaan ketika ini masih tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Beliau berkata, setiap kerajaan yang mengalami perubahan kepimpinan sememangnya akan berhadapan dengan kumpulan tertentu yang tidak sehaluan.
Namun begitu, menurutnya, kumpulan sedemikian sekiranya benar wujud dilihat sukar untuk memberikan kesan signifikan termasuk sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan.
Sivamurugan berkata, ini kerana senario politik di dalam negara ketika ini sudah berubah berbanding ketika tempoh pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan berlakunya perubahan kerajaan buat kali pertama.
“Saya rasa dah jauh berbeza. Sekarang ini rasa sukar untuk kita lihat wujudnya ‘deep state’ ini sebab semua pihak dah lalui perkara itu (perubahana kepimpinan kerajaan) melalui kejutan 2018.
“Dulu, mungkin 2018 sebab berlaku perubahan kerajaan. Tapi selepas itu saya rasa penjawat awam pun dah tahu bahawa mereka terikat dengan peraturan undang sebagai penjawat awam.
“Mereka perlu bertanggungjawab kepada mana-mana kerajaan dan mengetepikan kepentingan serta fahaman politik masing-masing,” katanya yang merupakan Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.