Pendedahan terbaru penipuan dilakukan Timbalan Speaker sangat mengejutkan

Pendedahan terbaru penipuan dilakukan Timbalan Speaker sangat mengejutkan

Seorang Ahli Parlimen DAP menggesa Timbalan Speaker Rashid Hasnon diambil tindakan selepas didakwa mengelirukan Dewan Rakyat mengenai “arahan” mengusir Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak), minggu lalu.

Teo Nie Ching (PH-Kulai) berkata, Rashid memaklumkan pada minggu lalu menggantung Tajuddin selama dua hari iaitu 20 dan 21 Julai.

Bagaimanapun, Teo berkata, berdasarkan senarai penyata rasmi (hansard) pada 20 Julai, menunjukkan Tajuddin masih masuk ke Dewan Rakyat dan namanya juga terlibat dalam perbahasan dan undian usul membatalkan keputusan tolak lanjut tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Rashid pada 26 Julai lalu mengatakan tentang Pasir Salak (Tajuddin), automatik dihalau dua hari termasuk hari kejadian iaitu pada 20 dan 21 Julai.

“Pada 20 Julai menunjukkan Pasir Salak lepas kejadian masih masuk Dewan Rakyat. Namanya juga ada dalam hansard pada muka surat 149, 150, 151, 152 dan 153 sehingga akhir agenda terakhir undian usul Sosma direkod.

“Tajuddin juga Ahli Parlimen ke-90 sokong usul membatalkan keputusan tolak lanjut tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Sosma,” katanya di Dewan Rakyat, seperti dilaporkan portal FMT.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun, berkata beliau perlu meneliti hansard tersebut sebelum mengeluarkan apa-apa arahan.

“Biar saya baca betul-betul (dulu),” katanya.

Pada 26 Julai, Rashid mengesahkan Tajuddin sudah dikenakan tindakan dengan diarahkan untuk tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat selama dua hari.

Katanya, tindakan itu dibuat selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang bertegas tindakan perlu dikenakan terhadap Tajuddin yang dikatakan mengeluarkan kenyataan berunsur lucah.

Menurut Rashid, larangan itu berkuat kuasa pada 20 dan 21 Julai.

Pada 20 Julai, Dewan Rakyat dilaporkan kecoh apabila Tajuddin berang digelar gemar mengeluarkan kenyataan berunsur seksis oleh seorang wakil rakyat DAP.

Tajuddin menyifatkan kenyataan Teo sebagai tidak senonoh.

Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) kemudian menyerahkan surat kepada Rashid meminta tindakan diambil terhadap Tajuddin atas kelakuannya. Beliau turut mendakwa Tajuddin menggunakan kata-kata kasar apabila mikrofonnya ditutup.

Tajuddin menafikan mengeluarkan kenyataan itu dan menyifatkan tindakan Kasthuri sebagai menjatuhkan imejnya sebagai Ahli Parlimen.