Penduduk cuci pakaian guna air lopak, tanda protes jalan berlubang tak dibaiki
Penduduk sebuah kampung di Lampung Tengah, wilayah Lampung melancarkan protes membantah keadaan jalan yang teruk berlubang dengan melakukan pelbagai aktiviti di laluan tersebut, lapor laman berita Tribun Lampung hari ini.
Antara yang mereka lakukan adalah menanam pokok pisang di tengah jalan, berbaring dan berendam di dalam lopak air serta mencuci pakaian menggunakan air bertakung.
Menurut seorang penduduk dikenali sebagai Gunarto, semua aksi itu dilakukan untuk mendapatkan perhatian pemerintah tempatan.
“Jalan ini sudah lama rosak. Tolonglah baiki jalan ini,” katanya.
Tambah Gunarto, penduduk Poncowarno mendesak agar pihak berkuasa wilayah Lampung membaiki jalan daerah Padang Ratu hingga Kalirejo itu kerana mengundang kemalangan pada setiap hari.
“Setiap hari pasti ada kemalangan di sini. Jalan ini penting kerana digunakan oleh penduduk untuk menghantar anak mereka ke sekolah,” ujarnya.
Kata Gunarto, keadaan lubang yang banyak di jalan itu menyukarkan pengguna terutamanya ketika musim hujan.
“Selain air bertakung, turapan jalan yang sudah lama hilang membuatkan jalan berlumpur dan licin,” jelasnya.