Penduduk kampung ini ajar cara pantas kerah PBT perbaiki jalan yang berlubang

Penduduk kampung ini ajar cara pantas kerah PBT perbaiki jalan yang berlubang

Buntu dengan masalah jalan raya yang rosak teruk, sekumpulan penduduk di Kampung Kelewek, di Batu Gajah, Tanah Merah, bertindak menanam beberapa anak pokok sawit di atas jalan terbabit kelmarin.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Din, 50-an, berkata tindakan itu terpaksa dibuat untuk menarik perhatian pihak berwajib supaya segera memperbaiki keadaan jalan yang rosak teruk.

“Keadaan jalan ini berlarutan sejak sekian lama tanpa turapan baru secara menyeluruh. Sebelum ini penyelenggaraan hanya dibuat dengan menampal jalan yang berlubang sahaja.

“Namun masalah itu tidak memberi penyelesaian lebih baik, sebaliknya menimbulkan permasalah yang berulang.

“Jadi kali ini keadaan jalan semakin teruk dan penduduk bertindak dan tularkan di media sosial,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Tambahnya, penduduk sangat berharap jalan tersebut dapat dinaik taraf memandangkan laluan sekitar tujuh kilometer itu menjadi jalan alternatif dari Tanah Merah ke Jeli terutamanya pada musim cuti perayaan.

“Jadi kami fikir adalah wajar diusahakan agar ia dinaik taraf dan diselenggara dengan lebih baik di masa akan datang,” katanya.

Semakan Malaysiakini mendapati kerosakan jalan terbabit telah diambil tindakan segera oleh pihak Roadcare (M) Sdn Bhd, selepas ditularkan di media sosial.

Sementara itu Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik berkata pihaknya segera menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas perkara itu tular di media sosial.

“Alhamdulillah tindakan segera diambil oleh kontraktor penyelenggaraan jalan raya bagi memperbaiki kerosakan jalan raya tersebut,” katanya.

Menurut Zahari, jalan berkenaan merupakan laluan seliaan persekutuan dan permohonan supaya laluan itu dinaik taraf sudah dikemukakannya ketika Mustapa Mohamed menjadi wakil rakyat Jeli.

“Perkara ini saya sudah angkat ketika menjadi setiausaha politik Tok Pa (Mustapa) dan difahamkan ia sudah diluluskan.

“Sebagai wakil rakyat kawasan ini saya akan usahakan dan pastikan agar projek menaik taraf jalan ini disegerakan demi keselesaan pengguna,” kata Zahari.