Peneroka dedah perkara sebenar isu hutang Felda yang ramai tak tahu

Peneroka dedah perkara sebenar isu hutang Felda yang ramai tak tahu

 

Sebagai ketua Peneroka Kebangsaan Felda, saya tampil untuk menceritakan perkara yang sebenarnya (mengenai isu hutang Felda).

Penghapusan hutang-hutang peneroka adalah PERJUANGAN wakil-wakil peneroka di bawah Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP), yang mana saya sebagai Ketua Peneroka Kebangsaan (terlinbat secara langsung).

Kami melihat, 15 tahun Felda tidak mengeluarkan penyata hutang kepada peneroka, banyak rungutan dari peneroka, ada hutang yang tak wajar, saya bagi salah satu contoh. Sepatutnya membaja setahun 5 kali, tapi Felda buat dua kali, cas hutang pada peneroka 5 kali. Ini salah satu sebab peneroka ragu dan tak puas hati..banyak sebab-sebab lain lagi.

Selaku Ketua Peneroka Kebangsaan Felda, saya telah berbincang perkara ini bersama Pengerusi Felda Tan Sri Idris Jusoh di masa itu. Jalan penyelesaiannya, Felda kena hapuskan hutang-hutang peneroka sehingga 2019.

Perkara ini dipersetujui bersama oleh Felda dan peneroka, Felda telah merangka kaedah pemotongan ini.

Apabila Pemansuhan ini berlaku, Felda telah berjumpa krajaan di asa itu, yang mana TS Mahyuddin selaku Perdana Menteri.

Apabila pemansuhan ini berlaku, Felda sudah hilang punca pendapatan, bagaimana nak bayar hutang-hutang bank dan KWSP serta lain-lain.

Kerajaan dimasa itu telah bersetuju untuk mengeluarkan SUKUK RM 9.9 bilion dengan JAMINAN Kerajaan.

Dengan mendapat jaminan kerajaan itu, bank-bank telah mengeluarkan pinjaman kewangan untuk disalurkan kepada Felda.

Saya sendiri bersama Tan Sri Idris Jusoh, Presiden MBFM, Presiden KAF dan wakil dari Pengurusan Felda berjumpa Tan Sri Mahyuddin di Pejabat PM di Parlimen.

Setelah diberi penerangan mengenai SUKUK ini, kami berpuas hati dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB PM.

Semasa dalam penerangan, YAB PM berkali-kali bercakap, Ingat..ini bukan percuma, kena bayar balik. Sehingga lah semasa bersalam hendak pulang pun, PM masih mengulangi ayat.. Ingat, ini kena bayar balik.

Setelah kewangan dapat dari bank-bank, Felda telah membayar segala hutang-hutangnya, termasuk untuk Felda membeli saham-saham FGV yang mana sekarang Felda menguasai sebanyak 82%.

Samaada kerajaan sudah mementerai perjanjian dengan Felda bagaimana SUKUK ini harus dibayar itu kita tidak dimaklumkan dan sehingga habis tahun 2022, masih ibarat menunggu buah yang tak gugur.

Apabila Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk pemerintahan negara, yang diketuai oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri beliau telah menyemak perkara ini bersama Kementerian Kewangan.

Pada hujung bulan Jun 2023, PM Anwar telah menandatangani satu jaminan dari kerajaan, untuk merealisasikan dari perjanjian terdahulu yang mana Kerajaan bersetuju untuk membantu Felda sebanyak RM1 bilion setahun untuk membayar pokok pinjaman Felda melalui SUKUK RM 9.9 B.

Apabila ini berlaku, Felda menarik nafas lega. Felda hanya perlu mendapatkan lain-lain sumber pendapatan yang salah satunya dari FGV LLA, Kilang dan sebagainya yang akan mendapat pendapatan RM1 bilion lebih.

Dengan Pendapatan ini, Felda boleh membayar gaji kakitangan, faedah bank, pendahuluan tanam semula peneroka, pendahuluan baja, sara hidup dan lain aktivit yang membabitkan kebajikan peneroka.

Mungkin dalam masa 8 tahun, Felda boleh berjalan seperti biasa dan kembali kelandasan asal penubuhannya.

Memasa majlis sambutan hari Peneroka pada 7hb Julai yang lepas (Jumaat), Perdana Menteri telah meluluskan beberapa peruntukan untuk kesejahtetaan peneroka dan Felda.

i. Bantuan Kerajaan RM 1b setahun untuk membayar hutang Sukuk kepada bank2. (pokok sahaja). Ini meringankan beban Felda dan Felda akan menggunakan pendapatan-pendapatan lain untuk kos operasi Felda termasuk kebajikan peneroka.

ii.Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan tambahan untuk menyediakan pemasangan lampu-lampu jalan di kesemua kawasan rancangan Felda yang membabitkan 37,012 lampu jalan dengan bayaran-bayaran bil bulananya ditanggung oleh kerajaan, melalui kementerian terbabit.

iii. Perdana Menteri juga mengumumkan 12 pusat hemodialisis di dalam kawasan rancangan Felda.

iv. Perdana Menteri juga mengumumkan subsidi Diesel sebanyak RM36 juta setahun untuk penjanaan tenaga dan rawatan air bersih di Sabah.
Ia akan memberi manfaat kepada lebih kurang 40,000 isi rumah.

v. Bagi warga peneroka yang berumur 65 tahun keatas, Perdana Menteri juga mengumumkan menfaat kesihatan bernilai RM300 seorang yang boleh digunakan jika mereka mahu menerima rawatan di klinik swasta.

vi. YAB Perdana Menteri turut mengumumkan Digital Madani, yang mana Digital Madani ini ialah satu program baharu yang akan diperkenalkan di seluruh rancangan Felda untuk memastikan anak-cucu peneroka Felda tidak ketinggalan dalam ekomomi GIG.

vii. Perdana Menteri juga mengumumkan akan membantu peneroka tanaman getah beralih kepada tanaman sawit dan lain-lain.

viii. Dalam isu perumahan genarasi baru Felda, Perdana Menteri memberikan JAMINAN 283 unit rumah yang terbengkalai akan disiapkan, manakala peruntukan untuk membina rumah generasi baru yang akan datang, kajian kearah itu akan dilaksanakan. Perdana Menteri meminta tempuh masa supaya kerajaan mencari jalan terbaik bagi semua pihak.

Akhir sekali Perdana Menteri mengumumkan bahawa Kementerian Wilayah dan Desa, di bawah YAB Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Pembangunan Wilayah dan Desa diberikan akses untuk menyelenggara dan membaiki kemudahan-kemudahan yang rosak di dalam kawasan rancangan Felda yang sebelum ini tidak dibenarkan. Kerenah biokrasi ini telah dilonggarkan oleh Kementerian Kewangan supaya FELDA tidak hanya menunggu dari satu sumber sahaja.

Saya melihat, ini adalah satu KESUNGGUHAN KERAJAAN PERPADUAN @ MADANI untuk membantu Felda dan peneroka. Saya menyambut baik atas usaha ini dan mendoakan semoga Allah swt permudahkan segalanya…aamiin.

Memetik kata-kata Pengerusi Felda yang baru, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kita ini ibarat 3 tiang tunku, yang berdiri gagah untuk menerima kawah besar yang berada diaatas kita. Tiga tiang itu ialah peneroka, Felda dan kerajaan. Jika salah satu tiang ini patah, rebah lah kawah ke bumi.

Peneroka, Felda dan kerajaan berpisah tiada.

Kalau Felda tidak bernyawa, peneroka tidak bernafas, tak kiralah kerajaan mana pun, Felda adalah lubuk Tamaddun Melayu, sewajibnya dibantu, bila berlaku kesusahan..

Saya menyeru kepada semua peneroka dan warganya terus memandang kehadapan, untuk kita terus maju dan berjaya dalam keberkatan..

Wallahhuaklam.

———————-

Penulis adalah Ketua Peneroka Kebangsaan FELDA.