Penganggur jerut leher isteri dengan tali, berang hanya diberi RM100

Penganggur jerut leher isteri dengan tali, berang hanya diberi RM100

Seorang penganggur dilaporkan telah bertindak ganas dengan menjerut leher isterinya menggunakan tali dan menutup mulutnya gara-gara hanya diberikan RM100, lapor Sinar Harian.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Jalan Kim Kee pada Rabu lalu.

Lelaki berusia 33 tahun itu dikatakan berang selepas isterinya tidak dapat memberikan wang seperti yang diminta olehnya.

Kerana tidak berpuas hati, suspek kemudiannya bertindak ganas cuba membunuh mangsa dengan cara menjerut sehingga mangsa tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Kejadian berlaku akibat selisih faham

Kejadian itu dipercayai berlaku akibat perselisihan faham antara pasangan suami isteri tersebut.

“Suspek kemudian telah melarikan diri apabila mangsa tersedar selepas ditampar oleh suspek. Mangsa kemudiannya telah ke balai polis untuk membuat laporan.

“Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Raiz Mukhliz, selepas laporan polis dibuat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) akhirnya berjaya memberkas suspek.

Hasil ujian saringan air kencing, suspek didapati negatif dadah dan siasatan lanjut masih sedang dijalankan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Menurut beliau lagi, suspek juga kini sedang direman selama lima hari bermula Rabu bagi membantu siasatan polis.

Difahamkan, suspek dan isterinya yang berusia 29 tahun itu sedang dalam proses perceraian.