Pengarah JAIPk beri amaran, tauliah mengajar tak akan disambung jika terbabit politik

Pengarah JAIPk beri amaran, tauliah mengajar tak akan disambung jika terbabit politik

 

Semua pemegang tauliah mengajar agama di surau dan masjid di negeri itu diingatkan tidak bermain politik bagi mengelak risiko tauliah diberikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) tidak disambung.

Pengarahnya, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata demikian mengulas hantaran berbaur politik yang tular dibuat seorang guru di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang juga pemegang tauliah diberikan JAIPk.

Mengulas lanjut, katanya, tauliah mengajar agama mempunyai tempoh jangka masa lima tahun, namun seseorang yang bergiat aktif dalam politik tetap tidak dibenar untuk menyampaikan syarahan dalam masjid dan surau berdaftar dengan JAIPk.

“Seandainya pemegang tauliah ada masalah seperti tadi (aktif berpolitik) maka berkemungkinan mesyuarat memutuskan untuk tidak menyambung tauliahnya.

“Sekiranya ada laporan diterima, kita akan siasat dan ambil tindakan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular di laman sosial hantaran individu terbabit yang turut menyandang jawatan dalam sebuah parti politik negeri berikutan kenyataan dibuatnya yang didakwa menghina Perdana Menteri.

Individu itu yang memegang tauliah mengajar agama daripada JAIPk antara mempertikai keputusan kerajaan untuk bertegas dalam perkara berkaitan 3R (agama, kaum, institusi diraja), selain didakwa mengulas perihal politik dalam ceramahnya.

Harith Fadzilah menegaskan, tauliah diberikan JAIPk hanya untuk mengajar atau bersyarah di masjid dan surau yang berdaftar dengan pihaknya.

Bagi yang tidak memiliki tauliah namun mahu berceramah atau mengajar di masjid dan surau JAIPk pula, katanya pihak terbabit perlu mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengawasan dan Pengajaran Agama Daerah.

“Bagi yang hendak berceramah dan mengajar di premis selain masjid dan surau berdaftar dengan JAIPk, mereka mestilah mendapat kebenaran daripada Pegawai Tadbir Agama Daerah,” katanya.