Pengarah syarikat akhirnya dedah latar belakang pengawal peribadi yang ditembak di KLIA 1

Pengarah syarikat akhirnya dedah latar belakang pengawal peribadi yang ditembak di KLIA 1

 

Kes tembakan pengawal peribadi di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA) awal pagi semalam telah mengundang perbincangan hangat di media sosial.

Timbul tanda tanya, ada individu malah mempersoalkan kemahiran mangsa sebagai pengawal peribadi sehingga membenarkan dirinya terkena satu das tembakan yang menyebabkannya cedera parah.

Pengarah syarikat di tempat mangsa, Muhammmad Nur Hadith bekerja iaitu Elite Bodyguard Service mendedahkan bahawa lelaki yang dikenali sebagai Along itu merupakan seorang pekerja berpengalaman.

Malah menurut pengarah berkenaan iaitu Rashid Ratag, pekerjanya Along memiliki pengalaman luas selama 18 tahun bertugas sebagai pengawal peribadi sebelum mula bekerja di syarikatnya sejak empat tahun yang lalu.

Kes di KLIA, mangsa ada 18 tahun pengalaman jadi pengawal peribadi

Rashid bagaimanapun langsung tidak menyangka Along yang terlatih dalam kawalan keselamatan itu sanggup menggadaikan nyawanya sendiri untuk melindungi pelanggannya iaitu Farah Cie, lapor Utusan Malaysia.

“Dia memang seorang yang terlatih dalam membuat kawalan keselamatan. Disebabkan individu yang menggunakan perkhidmatan kami berisiko tinggi, jadi kita memilih Along untuk menjadi pengawal peribadinya.

“Tidak sangka, Along benar-benar komited dengan tugasan yang diberikan sehingga sanggup menggadaikan nyawanya,” kata Rashid memetik laporan Utusan Malaysia.

Sementara itu, Rashid turut berkongsi pekembangan positif pekerjanya yang dirawat di Hospital Cyberjaya selepas menjalani pembedahan pertama susulan cedera parah akibat terkena satu das tembakan.

Jelas Rashid, pihaknya dimaklumkan bahawa pakar perubatan di hospital berkenaan akan menunggu di dalam tempoh 48 jam lagi untuk melakukan prosedur seterusnya.

“Peluru yang terkena mangsa tidak mengganggu usus penting, Along masih dalam pemantauan pihak doktor,” kata pengarah syarikat yang memiliki sekitar 100 ahli berpengalaman luas dalam bidang keselamatan itu.

Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan pihaknya telah berjaya menahan suspek sekitar pukul 2.30 petang di sebuah rumah sewa di Kota Bharu, Kelantan.