Pengasas Sugarbook ditahan

Pengasas Sugarbook ditahan

Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai merupakan pengasas aplikasi cari teman, Sugarbook semalam.

Dalam satu kenyataan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di Mont Kiara, Kuala Lumpur, kira-kira jam 4.30 petang.

“Daripada siasatan awal suspek mengaku sebaagi pengasas bagi aplikasi Sugarbook,” kata Fadzil.

Polis akan membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegusaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan.

Polis juga menjalankan siasatan mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan atas kesalahan terbabit dalam kegiatan pelacuran.

Sugarbook merupakan aplikasi yang menawarkan perkhidmatan mencari teman antara wanita muda yang digelar sebagai ‘sugarbaby’ dan lelaki yang lebih tua.

Aplikasi itu didakwa menawarkan perkhidmatan tidak bermoral apabila menyediakan platform kepada lelaki kaya untuk mencari perempuan simpanan.

Baru-baru ini media melaporkan Malaysia berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia selepas India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai

Dengan slogan “where romance meets finance,” Sugarbook pada 2019 mula menarik perhatian apabila papan iklan elektronik mengenai perkhidmatan itu dipaparkan di beberapa lokasi. – MK