Pengeluar vaksin naikkan harga, perolehan vaksin negara cetus masalah – Khairy Jamaluddin

Pengeluar vaksin naikkan harga, perolehan vaksin negara cetus masalah – Khairy Jamaluddin

Perolehan bagi vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech untuk pembelian tahun depan belum dimuktamadkan kerana ia masih dalam peringkat rundingan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, ia termasuk harga yang perlu dibayar untuk pemerolehan vaksin berkenaan.

“Saya sudah mula berunding dengan Pfizer untuk pembelian pada 2022 dan rundingan ini baru bermula. Kita belum muktamadkan perolehan dikehendaki oleh Malaysia termasuk harga jualan yang akan ditawarkan.

“Apabila ia sudah dimuktamadkan nanti, saya akan maklumkan kepada media mengenai harga atau sama ada harga itu sama dengan pembelian kita (tahun ini) atau ia sudah berubah,” katanya pada pada sidang media mingguan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), secara maya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media The Financial Times semalam bahawa syarikat pengeluar vaksin, Pfizer Inc dan Moderna Inc menaikkan harga vaksin Covid-19 dalam kontrak pembekalan kepada Kesatuan Eropah (EU).

Sementara itu Khairy memaklumkan, Pasukan CITF akan menggunakan dua kriteria untuk penghantaran vaksin ke negeri-negeri bagi mengimbangi semula kadar pemberian vaksin di negeri yang merekodkan kapasiti pelalian yang terendah.

Ia bagi membolehkan nilai ambang 40 peratus daripada penduduk dewasa di seluruh negara yang sudah lengkap dua dos, dapat dicapai menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Tambah beliau, kedua-dua kriteria itu adalah kawalan wabak iaitu menghantar vaksin di negeri yang mengalami peningkatan kes positif Covid-19 dan penghantaran vaksin di negeri yang kadar suntikan masih rendah.

“Ia supaya untuk Ogos ini, semua negeri dapat menyamai negeri lain, dengan tujuan semua negeri akan dapat sampai ke nilai ambang 40 peratus daripada populasi dewasa mereka dapat lengkap menerima dua dos pada Hari Merdeka,” katanya.

Sumber – MalaysiaGazette