Pengeluaran KWSP 2.0 bersasar perlu diluluskan sebelum sekolah bermula

Pengeluaran KWSP 2.0 bersasar perlu diluluskan sebelum sekolah bermula

 

Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menggesa kerajaan meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan (KWSP) 2.0 secara bersasar sebelum sesi persekolahan 2023/2024 bermula.

Presidennya, Azmi Mohd Tahir berkata, rakyat sangat terdesak hingga sanggup bergambar di hadapan cawangan KWSP di negeri masing-masing untuk membuktikan kesungguhan mereka.

“Mereka juga ingin membuktikan bahawa pencarum bukan suka-suka buat perkara di luar jangka, ini semua disebabkan oleh kehidupan mereka benar-benar terkesan.

“Lihatlah Datuk Seri Anwar Ibrahim, sanggupkah Kerajaan Perpaduan yang memerintah melihat keadaan ini di negara Malaysia yang tercinta?

“Mereka sanggup lakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup keluarga, untuk mendapatkan wang simpanan persaraan mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah Azmi, rakyat sudah mulai tidak mempedulikan kata-kata masyarakat lain asalkan tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar diluluskan dengan kadar segera.

“Tolong Datuk Seri Anwar Ibrahim ada rasa sedikit empati terhadap rakyat yang merayu seperti pengemis.

“Mereka ini ada maruah tetapi keadaan sangat tertekan, maruah diketepikan. Wajarkah sebagai seorang ketua pemimpin negara melihat semua ini?” soalnya.