Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji meninggal dunia akibat Covid-19

Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji meninggal dunia akibat Covid-19

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital pada pagi Sabtu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi kemaskini di Facebooknya sebentar tadi.

“Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham YABhg (Yang Amat Berbahagia) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid diatas pemergian Allahyarham yang telah meninggal dunia pada 28 Ogos 2021, jam 1.40 pagi.

“Allahyarham merupakan mantan Ketua Setiausaha Negara dari tahun 1990 hingga 1996 dan seorang tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan,” katanya.

Mohd Zuki berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara melalui jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah.,” katanya.

Pada 7 Ogos lalu, media melaporkan Ahmad Sarji dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras akibat komplikasi Covid-19.

Sumber – SinarHarian