Pengguna dedah kedai runcit letak syarat beli minyak paket, tindakan segera KPDN raih pujian ramai

Pengguna dedah kedai runcit letak syarat beli minyak paket, tindakan segera KPDN raih pujian ramai

 

Tindakan peniaga sebuah kedai runcit yang mengenakan syarat kepada pelanggan untuk membeli minyak masak paket, menjerat diri.

Ia selepas seorang pengguna di aplikasi X membongkar syarat yang ditetapkan peniaga premis tersebut sehingga ia mendapat perhatian Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

“Kedai runcit di Perak ni lagi lah bang. Nak beli minyak masak paket kena beli benda lain dulu. Menyirap je rasanya,” kata seorang pengguna X dalam tangkap layar yang dikongsi semula oleh Fuziah.

“Boleh bagitahu saya kedai mana?”. Demikian pula respon Fuziah terhadap pendedahan pengguna terbabit.

Susulan itu, dua pegawai KPDN kemudian telah ke premis yang dimaksudkan bagi menyiasat dakwaan tersebut dengan salah seorang daripada mereka menyamar sebagai pembeli.

Video penyamaran tersebut turut dikongsikan Fuziah baru-baru ini di aplikasi TikTok yang merakamkan pegawai memasuki premis runcit berkenaan sebelum bertanya kepada peniaga sama ada dia boleh membeli dua peket minyak masak atau tidak.

Ternyata, dakwaan pengguna di X tersebut benar apabila peniaga mengatakan pelanggan hanya dibenarkan membeli dua peket minyak masak dengan syarat, perlu membeli satu barangan lain.

Sekiranya tidak membeli barangan lain, pelanggan hanya boleh membeli sepeket, menurut peniaga berkenaan.

Jawapan peniaga tersebut secara tak langsung membuatkan pegawai merampas minyak peket daripada premis berkenaan selain saman dikeluarkan serta merta.

Menjengah ke ruangan komen, tindakan KPDN tersebut mendapat pujian ramai atas tindakan yang tegas dan pantas selain ada yang menyarankan agar tinjauan dilakukan lebih banyak kerana terdapat banyak kedai yang mengambil kesempatan ke atas pengguna.

Dalam masa yang sama, tidak kurang juga yang mengadu kegiatan serupa dikenakan pengusaha premis di kawasan masing-masing.

Terdahulu, Fuziah memaklumkan, KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menetapkan syarat pembelian ke atas barangan kawalan seperti minyak masak peket dan gula.

Tambahnya lagi, pihak kementerian tidak akan berkompromi terutama bagi mereka yang melakukan kesalahan yang berulang dan jelasnya, di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana individu atau syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda RM 1 juta hingga RM 5 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, orang ramai diminta melaporkan sebarang penyelewengan kepada KPDN melalui saluran yang betul.