Pengkritik sosial ini berkongsi pelbagai isu sedih babitkan profesion perguruan di bawah Radzi Jidin

Pengkritik sosial ini berkongsi pelbagai isu sedih babitkan profesion perguruan di bawah Radzi Jidin

Keseluruhan sistem pendidikan kita sedang berada dalam ketidaktentuan. ‘Uncertainty’.

Apa yang dihajatkan berlawanan dengan apa yang dipraktikkan. Kerja yang dilaksanakan tak bertepatan dengan matlamat yang ditetapkan.

Tanyalah kepada kebanyakan guru yang berada di sekolah tentang kebimbangan mereka.

Bukan sahaja kebimbangan tetapi juga tahap motivasi yang semakin berkurangan dengan kerjaya mereka.

Jika diberi pilihan, jika tiada komitmen yang mengikat, ramai daripada mereka memilih untuk berhenti kerja atau beralih kerjaya.

Guru bukan hilang motivasi kerana murid. Bukan kerana mereka hilang ghairah mendidik tetapi penat dengan renyah dan karenah orang atasan.

Orang atasan yang mengimpikan pendidikan seperti Finland dan Jepun tetapi ‘support system’ seperti Bangladesh dan Somalia. Jangan baca secara literal.

Sekolah mahu cemerlang. Tetapi kelas padat. Kelengkapan kurang. Makmal lebih banyak yang lompong daripada lengkap. Internet di sekolah bunyi saja ribut, lajunya macam siput. Beg sekolah anak murid beratnya macam isi batu-bata. Pakai pula ‘blazer dan tie’ di tengah panas tengahari rembang.

Beban waktu mengajar guru yang kadangkala sampai tak sempat nak makan pagi dan ke tandas.

Beban perkeranian yang menyebabkan mereka tiada masa menyantuni murid di sekolah. Dan pada masa yang sama kita mahu mereka ‘mendidik’. Mendidik apa kalau makan dan kencing pun bergegas?

Kemudian ditambah dengan sikap segelintir Pengetua dan guru besar yang melatih guru supaya ‘kami dengar dan kami taat’. Itu belum kerenah PPD yang rasa sentiasa betul dan ‘all-knowing’.

Kita memburu kecemerlangan Sains dan Matematik. Berkejaran demi Timms dan Pisa. Stem di mana-mana. Tetapi pada masa yang sama di mana penekanan terhadap akhlak dan moral?

Hari-hari kita dihidangkan dengan berita budak sekolah yang semakin membejat. Apatah lagi dengan kewujudan medsos yang memberi ruang tanpa sempadan kepada budak tanpa had umur.

Semua ini permasalahan yang nampak di mata tapi tak menyentuh di hati para elit penguasa di atas. Kerana bagi kebanyakan mereka, pendidikan adalah pusat pengembangan karier dan cita-cita.

Sampai satu tahap falsafah pendidikan negara hanyalah teks yang termaktub di belakang buku latihan anak murid bukan lagi impian sebuah bangsa dan negara.

Ini realiti. Nak nafikan, terpulang. Tapi tepuklah dada, tanya akal yang waras…

Sumber – FB Sahul HM