Pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM: Keputusan saat akhir menteri menyusahkan rakyat
1. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan bahawa sesi persekolahan secara bersemuka di seluruh negara bermula 20 Januari 2021 hanya akan melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara. Murid selain mereka pula akan mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
2. Pemuda AMANAH Nasional kesal kerana pengumuman yang penting ini dibuat dalam selang waktu yang begitu singkat sebagaimana pengumuman-pengumuman mengejut Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin sebelum ini. Amalan kerja saat akhir ini menyusahkan ramai pihak terutama ibu bapa, guru dan murid dalam membuat persediaan. Trend kes Covid-19 yang semakin meningkat melebihi empat angka bukan bermula semalam. Kementerian sepatutnya sudah boleh membuat unjuran lebih awal.
3. Selain itu, Kementerian juga perlu sedar masalah capaian jalur lebar yang berada pada tahap yang masih rendah di kawasan pedalaman serta penyediaan kemudahan PdPR oleh guru, murid dan ibu bapa yang berada di luar kemampuan sebahagian mereka. Bukan semua keluarga mampu menyediakan kemudahan PdPR apatah lagi seawal sekolah rendah dan menengah.
4. Memandangkan masa sebahagian besar murid kini berada di rumah dan ianya tidak menunjukkan tanda akan tamat dalam masa terdekat, Kementerian wajar segera memperbanyakkan rancangan pendidikan di saluran percuma memandangkan pada masa ini rancangan sedemikian terlalu sedikit. Peruntukan untuk Bahagian Sumber dan Teknologi Pembelajaran (BSTP) wajar ditambah untuk membangunkan bahan-bahan pembelajaran secara digital yang berkualiti dan menarik seiring dgn pelaksanaan PdPR di seluruh negara.
“Memimpin Gerakan Kepemudaan”
“Memperkukuh Kemakmuran Sosial”
HASBIE MUDA
Pengerusi Biro Pendidikan
Pemuda AMANAH Nasional
Bertarikh : 17 Januari 2021