Pengosongan kerusi DUN Batang Kali, ini penjelasan lengkap pakar perlembagaan

Pengosongan kerusi DUN Batang Kali, ini penjelasan lengkap pakar perlembagaan

 

ISU KEKOSONGAN KERUSI HARUMAINI OMAR (DUN BATANG KALI)

Baru-baru ini, Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim telah menggunakan peruntukan Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Batang Kali yang dipegang oleh Harumaini Omar (PEJUANG) atas kegagalannya untuk hadir persidangan dewan melebihi enam bulan, iaitu sejak 28 Julai tahun lalu tanpa kebenaran.

Beliau dikatakan gagal hadir dalam persidangan DUN yang bersidang dari 14 hingga 18 Mac, 21 Mac, 25 hingga 29 Julai, 1 hingga 2 Ogos, 23 hingga 30 November, 1 hingga 2 Disember dan 5 hingga 6 Disember dalam Penggal Kelima DUN Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022.

Kata Speaker, berdasarkan rekod Penyata Rasmi dan Buku Kehadiran, tarikh akhir kehadiran Harumaini ke persidangan dewan adalah pada 27 Julai tahun lalu dan tempoh enam bulan dikira bermula dari tarikh 28 Julai.

Maka, tempoh 6 bulan itu berlaku kekosongan adalah berkuatkuasa dari 28 Januari.

Dalam kenyataan balas, Harumaini menyatakan bahawa Speaker DUN telah silap membuat pengiraan tempoh 6 bulan.

Menurut beliau, sebagai ADUN beliau menghadirkan diri bagi mesyuarat pertama dan kedua Dewan pada Mac hingga Ogos tahun lalu.

Katanya lagi, beliau hadir pada 27 Julai 2022 dan oleh kerana kehadirannya adalah masih di dalam sidang atau mesyuarat kedua yang sama (same sitting) maka Speaker telah terkhilaf apabila membuat pengiraan tempoh enam bulan dari tarikh 27 Julai 2022 kerana ia masih di dalam satu sidang atau mesyuarat yang sama.

Oleh itu, ketidakhadiran beliau tanpa kebenaran hanya berlaku pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14 iaitu persidangan yang bermula pada 23 November 2022.

Oleh itu, apa-apa pengiraan tempoh enam bulan bagi maksud Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 hanya bermula dari 23 November 2022 dan bukannya pada 27 Julai 2022.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa hanya SPR yang berkuasa untuk mengisytiharkan kekosongan dan bukannya Speaker DUN.

Pada tahun 2011, Speaker DUN Selangor Teng Chang Kim pernah menggunakan peruntukan yang sama untuk membatalkan keanggotaan Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah atas alasan yang sama iaitu kegagalannya untuk hadir sidang DUN dalam tempoh 6 bulan.

Kes tersebut telah dibawa ke Mahkamah dan telah dilaporkan dalam jurnal undang-undang.

Dalam TENG CHANG KHIM v. BADRUL HISHAM ABDULLAH & ANOR [2017] 5 MLRA 651, Mahkamah Persekutuan menyatakan kuasa Speaker untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi itu diberikan dalam Perkara 69 Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor yang menyatakan:

“69. Absence of a member
If a member of the Legislative Assembly is without leave of the Speaker absent from every sitting thereof for a period of six months his seat shall be declared vacant by the Speaker.”

…….

“69. Ketidakhadiran ahli

Jika seseorang ahli Dewan Undangan Negeri tanpa kebenaran Speaker tidak hadir pada setiap persidangannya selama tempoh enam bulan kerusinya hendaklah diisytiharkan kosong oleh Speaker.”

Selanjutnya, Mahkamah Persekutuan membuat pemerhatian berikut:

[35] Perkara 69 Perlembagaan Selangor dengan jelas memperuntukkan kuasa untuk Speaker mengisytiharkan kerusi kosong jika ahli Dewan Undangan tidak hadir tanpa kebenaran setiap kali bersidang untuk tempoh enam bulan. Bagaimanapun, peruntukan itu senyap sama ada pengisytiharan itu perlu dibuat oleh Speaker semasa prosiding DUN. Peruntukan itu juga tidak mengenakan sebarang kewajipan kepada Speaker untuk berunding dengan ahli Dewan Undangan Negeri sebelum mengisytiharkan kerusi kosong.

[36] Persoalannya adakah tindakan Speaker mengisytiharkan kerusi Badrul bagi kawasan N46 Pelabuhan Klang kosong pada sidang media adalah menjalankan fungsinya mengawal hal ehwal dalaman SLA dan kebal daripada cabaran di mahkamah. Jawapan kami adalah afirmatif. Pertama, pengisytiharan itu dibuat mengikut parameter yang ditetapkan oleh perkara 69 Perlembagaan Selangor. Kedua, pengisytiharan itu sudah pasti berkaitan dengan urusan penting SLA dan dibuat dalam melaksanakan fungsi penting Speaker sebagai Speaker.

[37] Oleh itu, kami berpendapat bahawa Speaker dalam kes ini telah bertindak secara sah di bawah perkara 69 Perlembagaan Selangor dalam mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri N46 Pelabuhan Klang Badrul kosong. Tindakan yang diambil oleh Speaker adalah tidak boleh dipertikaikan di Mahkamah kerana ia dilindungi oleh perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan dan perenggan 2 dan 3 Jadual kepada Perkara 77 Perlembagaan Selangor.
………………………….

[35] Article 69 of the Selangor Constitution expressly provides the authority for the Speaker to declare a seat vacant if a member of the Legislative Assembly is absent without leave from every sitting for a period of six months. However, the provision is silent as to whether the declaration should be made by the Speaker during the proceedings of the Assembly. The provision also does not impose any obligation on the Speaker to consult members of the Legislative Assembly before declaring a seat vacant.

[36] The question is whether the Speaker’s action in declaring Badrul’s seat for the constituency of N46 Pelabuhan Klang vacant at a press conference was in exercise of his functions to regulate the internal affairs of the SLA and was immune from challenge in court. Our answer is in the affirmative. Firstly, the declaration was purely made within the parameters set out by art 69 of the Selangor Constitution. Secondly, the declaration was inevitably connected to the essential business of the SLA and was made in the performance of the Speaker’s essential function as a Speaker.

[37] Therefore, we are of view that the Speaker in the present case had acted legally under art 69 of the Selangor Constitution in declaring Badrul’s N46 Pelabuhan Klang Constituency seat vacant. The course taken by the Speaker is non-justiciable as it is protected by art 72(1) of the Federal Constitution and paras 2 and 3 of the Schedule to art 77 of the Selangor Constitution.

Berdasarkan kes duluan ini, kemungkinan besar Mahkamah akan mengabsahkan tindakan Ng Sue Lim dan Harumaini dijangka sukar untuk mencabar keputusan Speaker itu.

Sehubungan itu, ahli-ahli Parlimen dan DUN sepatutnya menyedari kewujudan peruntukan ini dalam Perlembagaan. Adalah menjadi satu perkara yang sia-sia bagi para penyokong yang telah bertungkus lumus memenangkan mereka sebagai wakil rakyat mereka tetapi keanggotaan mereka akhirnya telah dibatalkan atas alasan teknikal seperti ini.

Adalah amat malang juga kerana sepatutnya wakil rakyat hadir ke sidang Parlimen atau DUN untuk menjalankan tugasan asasi mereka tetapi mereka gagal hadir tanpa alasan. Jika pun mereka tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu seperti masalah kesihatan sekali pun sepatutnya mereka menulis surat bagi memohon cuti daripada Speaker.

Dr Zulqarnain Lukman
18/2/2023