Pengumuman sekatan covid-19 hanya dari saya bukan KKM – Ismail Sabri

Pengumuman sekatan covid-19 hanya dari saya bukan KKM – Ismail Sabri

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata pengumuman berkenaan apa-apa sekatan perjalanan bagi mengekang penularan Covid-19 hanya akan dibuat olehnya, berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan.

Ditemui ketika berkempen untuk calon BN di Sabah hari ini, Ismail juga menyifatkan laporan berkenaan perintah kuarantin mandatori dikenakan untuk warga yang pulang ke semenanjung dari Sabah sebagai “berita palsu”.

“Itu berita palsu. Kononnya saya, Kementerian Kesihatan (KKM) kata bahawa mereka yang balik dari Sabah ke semenanjung akan dikuarantin tak betul.

“Pergerakan antara Sabah ke semenanjung, Sabah ke Sarawak masih bebas,” katanya ketika sidang media di Libaran selepas melancarkan jentera kempen bagi N50 Gum Gum, N51 Sungai Manila dan N52 Sungai Sibuga.

Ismail ditanya mengulas laporan kenyataan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba bahawa KKM akan meneliti keperluan mengenakan perintah kuarantin kepada mereka yang kembali ke semenanjung dari Sabah selepas PRN negeri itu.

Dia kelihatan tidak tahu berkenaan kenyataan Adham yang dilaporkan Bernama hari ini. Ismail bagaimanapun memberi jaminan bahawa apa sahaja pengumuman berkaitan hanya akan datang daripadanya.

“Kalau ada pengumuman, ia akan dibuat oleh saya.

“Kalau ada perintah kawalan pergerakan (semula), kalau ada sekatan perjalanan, saya yang akan buat (pengumuman),” katanya.

Sumber : Malaysiakini