Peniaga beli beras putih tempatan dalam kuantiti yang banyak punca bekalan kurang

Peniaga beli beras putih tempatan dalam kuantiti yang banyak punca bekalan kurang

 

Tindakan segelintir peniaga membeli beras putih tempatan (BPT) dalam kuantiti yang banyak  antara faktor utama bekalan beras berkenaan berkurangan di pasaran.

Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Sembilan, Irwan Ahmad Rejab berkata, situasi itu berlaku susulan kenaikan harga beras putih import yang menyebabkan pengguna beralih kepada beras tempatan dan bukan kerana aktiviti menyorok BPT.

“Kebanyakan pengguna dan peniaga sudah beralih ke beras tempatan yang mana ‘margin’ sebelum ini antara beras import dan tempatan adalah antara RM1.50 ke RM2.00 tapi akibat kenaikan beras sedunia sekarang, ‘margin’ antara beras import dan tempatan ialah RM10,” katanya.

Katanya, kerajaan menguatkuasakan peraturan kawalan padi dan beras pelesenan, pemborong dan peruncit yang hanya membenarkan setiap individu dan peniaga membeli maksimum 100 kilogram BPT.

Justeru, beliau meminta peniaga dan pengguna tidak membuat pembelian panik kerana bekalan BPT di negeri itu masih boleh diperoleh dan mencukupi.

Sejak 7 Julai hingga 14 September lalu, sebanyak 167 premis telah diperiksa menerusi Op Jamin yang dilaksanakan KPDN Negeri Sembilan.

Pemeriksaan mendapati tiada kes penukaran label kampit beras selain jualan BPT juga mengikuti harga kawalan ditetapkan.