Peniaga Jalan TAR terpaksa turunkan harga barang, baju Melayu RM159 jatuh RM80

Peniaga Jalan TAR terpaksa turunkan harga barang, baju Melayu RM159 jatuh RM80

 

Menjelang hari-hari terakhir sebelum tibanya Hari Raya Aidilfitri, peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman dilaporkan mula menawarkan harga runtuh kepada orang ramai.

Mereka antaranya membuat promisi kaw-kaw untuk menghabiskan stok jualan baju raya dan biskut raya.

Menurut Sinar Harian, ada antara peniaga yang menjual set baju Melayu dan sampin pada harga RM80 hingga RM100 berbanding harga asal RM159.

Peniaga, Muaz Azmi, 40, berkata, mereka perlu menghabiskan stok sebelum esok supaya sekurang-kurangnya mereka dapat semula pulangan modal.

“Kami perlu habiskan stok sebab esok hari akhir berniaga, kalau jual dengan harga ini kira dapat pulang modal pun tak jadi masalah daripada tanggung rugi,” katanyaseperti dilapor.

Bagi peniaga biskut raya, Hasnah Borhan, 45, juga terpaksa menawarkan harga yang rendah, mengakui jualan agak perlahan pada Ramadan kali ini kerana kuasa membeli agak rendah.

“Sekarang saya bagi harga paling murah iaitu enam balang boleh campur berlainan jenis biskut pada harga RM80,” katanya yang sudah 10 tahun berniaga di situ.

Sementara itu, peniaga tudung, Mohd Razis Othman, 37, berkata gerai jualannya menawarkan dua buah motosikal dan tiga loket emas bagi menarik minat orang ramai berbelanja di kedainya.

“Mereka yang membeli RM100 ke atas layak menyertai cabutan bertuah dan dan berpeluang untuk memenangi hadiah yang ditawarkan,” katanya.