Peniaga tembikai agih buah kepada pengguna jalan raya raih pujian ramai
Tindakan seorang peniaga mengagihkan buah tembikai secara percuma kepada pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas menarik perhatian orang ramai setelah tular sebuah video di laman TikTok, kelmarin.
Menerusi video berdurasi satu minit 14 saat yang dikongsi oleh @Aiman92, peniaga tersebut difahamkan bertindak sedemikian dengan niat untuk bersedekah dan berkongsi rezeki dengan orang ramai.
“Kongsi rezeki ketika jalan tengah sesak. Hati-hati memandu semua, semoga selamat sampai ke destinasi.
“Kalau selepas ini sesak lagi, kita beri pula air timun cina (tembikai),” katanya.
@mankidal92 kongsi2 rezeki ketika jln tengah jem. Hati2 memandu semua, semoga selamat sampai ke destinasi. Amin. #kampungberistokku
Di ruangan komen, ada yang memberitahu situasi itu berlaku di Terengganu ketika banyak kenderaan tersangkut dalam kesesakan jalan selama berbelas jam.
Seperti dijangka, rata-rata pengguna yang berasal dari Pantai Timur menyuarakan kekaguman mereka terhadap kemurahan hati peniaga tersebut.
Tidak hanya itu, ada yang tersangkut dalam kesesakan lalu lintas di negeri lain juga berkongsi perkara serupa dan berbangga dengan kemurahan hati orang ramai yang membantu.
“Saya jem lekat dekat Mersing jalan Endau ade satu rumah bagi makan sorang satu dekat kereta-kereta nasi beriani. Hahaha Klau ade tuan rumah tu baca komen terima kasih ya,” komen Shah.
“Terima kasih bos. Saya salah satu kenderaan penerima timun cina semalam dalam jem. Kebetulan anak saya suka sangat timun cina ni. Semoga murah rezeki,” kata Yoyo.
“Alhamdulillah. Kami salah seorang penerima buah tembikai masa jem. Moga murah rezeki selalu,” kata Fatin pula.
Perkongsian video itu sehingga kini mendapat lebih 2.3 juta tontonan dengan lebih 135,000 tanda suka.