Peningkatan kes cerai semasa PKP amat membimbangkan, gandingan Rina dan Zailah gagal berfungsi

Peningkatan kes cerai semasa PKP amat membimbangkan, gandingan Rina dan Zailah gagal berfungsi

Jumlah kes cerai tinggi melibatkan pasangan Islam semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh tahun lalu patut mendorong kerajaan membenarkan Mahkamah Syariah dan firma peguam syarie beroperasi kali ini, kata Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Presidennya, Musa Awang, berkata dalam tempoh tiga bulan PKP pertama tahun lalu, 6,569 kes perceraian didaftarkan.

Ia berpunca daripada masalah kewangan, hilang pendapatan, menganggur dan tekanan dihadapi individu berkenaan ketika pelaksanaan PKP.

Musa berkata, selain penceraian, pertikaian seperti keganasan rumah tangga melibatkan pasangan Islam perlu ditangani, walaupun semasa sekatan penuh bagi memerangi Covid-19.

Justeru, katanya, penutupan operasi Mahkamah Syariah dan firma guaman syariah semasa PKP 3.0 sekarang membawa permasalahan yang memberi kesan kepada masyarakat Islam secara keseluruhan.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) harus memberikan kebenaran untuk beroperasi kerana kes bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah bukan hanya tertumpu kepada permohonan pernikahan, perceraian dan rujuk.

“Sebaliknya ia meliputi pertikaian lain seperti keganasan rumah tangga, permohonan perintah injunksi tegahan terhadap gangguan fizikal (tubuh badan), injunksi tegahan terhadap harta, perebutan jagaan dan lawatan anak-anak, perintah interim jagaan anak dan sebagainya,” katanya.

Musa berkata, apabila berlaku perceraian dalam tempoh PKP, mereka sepatutnya dapat merujuk permasalahan kepada Mahkamah Syariah atau peguam syarie jika kedua-dua institusi itu dibenarkan beroperasi.

“Rujukan dan tindakan kedua-dua institusi ini penting supaya permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan dalam tempoh sepatutnya dan sewajarnya supaya tidak timbul rentetan masalah lain,” katanya.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/14/peguam-syarie-gesa-mkn-benar-operasi-mahkamah-syariah-firma/