Peningkatan kes kluster pendidikan semakin merisaukan – Noor Hisham

Peningkatan kes kluster pendidikan semakin merisaukan – Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan mendadak kluster pendidikan adalah sangat membimbangkan kerana individu daripada pelbagai isi rumah akan berada dalam ruang dan waktu yang sama.

Menurutnya, kluster institusi pendidikan menunjukkan peningkatan mendadak sebanyak 313.3 peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) 3/2022 yang bermula 16 Januari hingga 22 Januari lalu, seperti dilaporkan Kosmo Online.

Tambahnya lagi, situasi tersebut boleh menyebabkan tercetusnya kluster tidak diingini sekiranya seseorang individu tidak patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Berdasarkan perbandingan, terdapat 62 kluster baharu institusi pada ME 3/2022 berbanding 15 kluster insitusi pendidikan pada ME 2/2022 yang bermula 9 Januari hingga 15 Januari.

“Walaupun kebanyakan populasi dewasa dan remaja telah menerima vaksin Covid-19, pematuhan SOP perlu sentiasa ditekankan sama ada sebelum, semasa dan selepas sesi persekolahan. Pemakaian pelitup muka dengan cara yang betul dan kebersihan tangan amat penting dalam mengawal penularan.

“Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan semua pihak agar sentiasa menjalani saringan Covid-19 sekiranya bergejala sebelum hadir ke kawasan sekolah atau institusi pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.