Penjual kereta terpakai hadiahkan Proton Persona, simpati bayi pakai mesin penafasan naik motor

Penjual kereta terpakai hadiahkan Proton Persona, simpati bayi pakai mesin penafasan naik motor

 

Seorang penjual kereta terpakai meraih pujian ramai selepas menghadiahkan Proton Persona kepada keluarga bayi yang menghidap penyakit paru-paru kronik iaitu Mohd Aariz Zafran.

Usahawan dikenali sebagai Daniel Firdaus itu berharap, kenderaan berkenaan bakal memudahkan keluarga Mohd Aariz membawa bayi berusia 11 bulan terbabit berulang-alik ke hospital.

Menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya, Daniel mendedahkan bahawa bapa kepada bayi terbabit iaitu Mohd Azlan Ishak pernah mengunjungi premis miliknya sebelum ini.

Tujuannya adalah untuk mencari sebuah kereta terpakai dengan harga sekitar RM1,000 hingga RM2,000 bagi membolehkan Azlan membawa anaknya ke hospital ketika waktu hujan.

Pengusaha itu bagaimanapun membuat keputusan untuk memberikan sahaja kereta secara percuma sebelum meminta Azlan memilih kenderaan terpakai yang sesuai dengan cita rasanya.

“Ini kali kedua Abang Azlan datang tengok kereta di kedai Abang Haji (Hj Din Auto). Dia cakap, tak mampu lagi beli. Tengah kumpul duit, boleh pakai waktu hujan untuk hantar anak ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Abang Haji cakap tidak mengapa, pilih sahaja kereta yang diingini. Abang Azlan dan isteri pilih sambil menangis. Semoga sedikit bantuan dari saya dapat mengurangkan kesusahan Abang Azlan dan keluarga,” kata Daniel Firdaus.

Menerusi hantaran terbaharu di akaun sama, Daniel meluahkan rasa syukur kerana proses penyerahan kereta jenis Proton Persona berwarna hijau muda tersebut dapat berjalan dengan lancar.

Daniel turut berkongsi video yang merakamkam suasana haru di mana bapa kepada Mohd Aariz terlihat begitu sebak ketika memperoleh kereta sambil memeluk dan mengucapkan terima kasih kerana membantu mereka sekeluarga.

Mohd Azlan turut mengambil peluang untuk mendoakan agar penjual Proton Persona berkenaan terus dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan.

Terdahulu, tular di media sosial sekeping gambar memaparkan pasangan suami isteri membawa anak mereka yang memakai alat pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) ke hospital menaiki motosikal.

Nasib yang menimpa pasangan itu turut meraih perhatian orang ramai termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon orang ramai menyalurkan maklumat mengenai keluarga itu menerusi setiausaha politiknya, Ahmad Farhan Fauzi.