Penjualan Menara KL, SPRM sahkan telah panggil 3 saksi untuk bantu siasatan

Penjualan Menara KL, SPRM sahkan telah panggil 3 saksi untuk bantu siasatan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil tiga saksi untuk siasatan dakwaan penjualan saham mencurigakan pengurusan Menara Kuala Lumpur (KL).

Memetik Sinar, SPRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan penjualan saham terbabit.

“SPRM akan menyiasat sama ada wujudnya elemen rasuah dalam penjualan 100 peratus saham Telekom Malaysia (TM) di dalam Syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober 2022.

“Setakat ini, SPRM telah memanggil tiga orang saksi dan mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak-pihak berkaitan untuk diteliti,” katanya pada Khamis.

Tambahnya, sehubungan itu, SPRM akan menjalankan siasatan secara terperinci dan profesional daripada semua sudut berkaitan isu ini.

Sebelum itu, isu pengambilalihan pengurusan Menara KL telah tular di media sosial apabila orang ramai mempersoalkan keputusan Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu.

Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian mendakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta itu sebagai ‘cash cow’ dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut mengesahkan sudah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada kementerian pada 14 Disember lalu dan akan menerima satu taklimat menyeluruh berhubung perkara ini daripada TM pada 3 Januari ini.