Penoreh getah jadi jutawan sekelip mata, menang cabutan bertuah RM1 juta

Penoreh getah jadi jutawan sekelip mata, menang cabutan bertuah RM1 juta

 

Bagaikan bulan jatuh ke riba itu yang dialami seorang penoreh getah apabila dia kini bergelar jutawan selepas diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bonanza BSN SSP ke-99.

Hasil cabutan berkenaan, Johni Satur, 57, membawa pulang RM1 juta.

Johni berkata, dirinya membeli Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) pada tahun 2022 selepas disarankan anak lelakinya.

“Saya masih rasa seperti mimpi dapat menang RM1 juta.

“Malahan saya lambat memberi respon ketika dihubungi pihak BSN minggu lalu kerana bimbang ia adalah suatu skim penipuan.

“Selepas beberapa kali diyakinkan, barulah saya percaya menjadi salah seorang pemenang Cabutan Jutawan Bonanza BSN SSP,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Lasau Minunsud pada Khamis.

Turut hadir menyampaikan hadiah kemenangan adalah Ketua Komunikasi Strategik BSN, Aizurra Mellissa Muzammil.

Bercerita mengenai latar belakangnya, Johni berkata, pendapatan diterima sebagai penoreh getah setiap bulan hanyalah RM500 sebulan dan jumlah itu pastinya tidak mencukupi bagi perbelanjaan keluarga.

Mengulas mengenai kemenangannya, bapa kepada lima cahaya mata berusia antara tujuh hingga 30 tahun itu merancang membina sebuah rumah baharu di tapak lain demi keselesaan keluarga.

Selain itu, Johni menyatakan wang dimenangi itu juga bakal digunakan untuk pendidikan anak bersekolah darjah satu dan tingkatan enam.

Sementara itu, anak keduanya, Romexh Johni, 27, berkata, dia meminta wang kemenangan itu disimpan dalam akaun BSN supaya lebih selamat kerana bimbang bapanya menjadi mangsa penipuan.

“Awalnya saya tidak tahu tentang peraduan ini sehingga dimaklumkan di kaunter BSN.

“Kebetulan bapa saya juga memang salah seorang pelanggan yang menyimpan wang di BSN selama ini,” katanya yang juga graduan dalam bidang pelancongan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kota Kinabalu.