Pentaksub filem ‘Mat Kilau’ punca usaha membersihkan kubur J.W.W.Birch dikecam

Pentaksub filem ‘Mat Kilau’ punca usaha membersihkan kubur J.W.W.Birch dikecam

Bukan mahu mengagungkan, jauh sekali mengiktiraf pendudukan penjajah khususnya British di Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Inisiatif untuk membersihkan kubur JWW Birch di Bandar Baru tidak jauh dari Kampung Teluk Memali, di sini baru-baru ini mendapat reaksi pelbagai daripada lapisan masyarakat.

Tentu sahaja banyak komen sinis daripada netizen di laman sosial Facebook.
Ramai yang mempertikai mengapa kakitangan Lembaga Muzium Negeri Perak melaksanakan program gotong-royong membersihkan kubur Residen British pertama di Perak itu.

Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee ketika mengulas lanjut mengenai isu berkenaan berkata, kerja-kerja pembersihan kubur lebih 100 tahun itu tidak sepatutnya dijadikan isu atau kontroversi.

Menurutnya, masyarakat perlu melihat keperluan kerja-kerja pembersihan itu daripada sudut positif, terutamanya untuk memulihara tinggalan sejarah demi pengajaran bersama.

Malah beliau tidak menolak kemungkinan pengaruh filem Mat Kilau yang sedang dimainkan di pawagam ketika ini menjadi antara faktor mengapa segelintir orang terkesan dengan tindakan tersebut.

“Sebenarnya tiada istilah hendak mengagungkan kubur atau tinggalan penjajah (bersihkan kubur Birch). Ia lebih kepada pedoman dan bukti sejarah negara.

“Jika tiada kubur Birch, mana mungkin masyarakat hari ini tahu peristiwa penjajahan di negara kita?

“Malaysia ini unik kerana dicorakkan melalui kepelbagaian sejarah, tidak kira tempatan, Islam atau kolonial,” katanya, seperti dilaporkan Awani.

Dalam pada itu, guru sejarah itu berkata mungkin wujud kelemahan daripada pihak berkenaan dalam mempromosi tapak warisan lain yang turut dipulihara sebelum ini.

Jadinya, ramai yang beranggapan pihak tersebut hanya menjaga dan mengambil tahu tentang tinggalan penjajah, berbanding warisan yang diwartakan.

“Sedangkan pihak terbabit memang sentiasa melakukan pemantauan dan pemeliharaan semua warisan yang diwarta di negeri ini.

“Tidak perlu rasanya gelar mereka yang bersihkan kubur itu sebagai tali barut penjajah dan sebagainya, ada sebab mengapa ia dilakukan,” katanya.

Ditanya mengenai bangunan atau tempat bersejarah lain di sekitar Perak yang ada di antaranya tidak terjaga, Nor Hisham menjelaskan perkara itu disebabkan berlakunya pertindihan.

“Kebanyakan isu berkenaan tempat sejarah atau warisan terbiar ini sebab pertindihan, mereka tak pasti siapa yang bertanggungjawab jaga tempat itu.

“Itu yang terjadi banyak isu warisan contohnya pejabat pos lama di Ipoh itu terbiar. Itu masalahnya, tiada siapa tahu siap yang urus dan sebagainya,” jelasnya.

Terdahulu, tular bantahan terhadap inisiatif dilaksanakan pihak berkenaan membersihkan kubur Birch pada 14 Julai lalu.

Ada di antara mereka yang menyifatkan perbuatan itu sesuatu yang memalukan dan tidak patut sama sekali dilakukan oleh orang Melayu khususnya umat Islam.