Penulis prolifik, Faisal Tehrani kongsi kisah Adly ketika menjadi KM Melaka

Penulis prolifik, Faisal Tehrani kongsi kisah Adly ketika menjadi KM Melaka

Ada beberapa langkah Adly Zahari, bekas Ketua Menteri Melaka yang lekat dalam kepala saya, di kala pemerintahan singkatnya ketika PH berkuasa di negeri itu. Saya dibesarkan di negeri Melaka, dan adalah pengundi di negeri Melaka. Maka perkembangan politik Melaka sentiasa dalam buku catatan saya.

Langkah pertama Adly yang saya ingati ialah menghentikan aktiviti perlombongan pasir sungai dan pengambilan produk hutan. Menurut Adly, hasil pendapatan Melaka daripada aktiviti itu hanyalah RM900,000 sahaja, sedangkan kos pengurusan kerja-kerja ekoran aktiviti itu melampaui RM33 juta.

Adly menambah lagi penghentian aktiviti itu juga untuk kebaikan generasi mendatang. Memang bunyinya mungkin macam “sembang kencang”, pun, apabila kemudian saya menemui beliau, lama setelah kerajaan PH digulingkan kumpulan pengkhianat, saya mendapat tahu langkah sebegini bukanlah retorika Adly semata-mata, memandangkan memang beliau suka bercucuk tanam. Malah setelah “dihentikan” daripada menjadi Ketua Menteri, Adly memang lebih banyak berkebun.

Jadi, kita mengerti selama ini ada pembaziran sumber di Melaka yang telah berleluasa ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional.

Kedua, langkah Adly yang saya perhatikan amat baik ialah apabila beliau mengutamakan perpaduan etnik dan agama di negeri Melaka. Adly membuat keputusan untuk tidak membenarkan Zakir Naik berucap di khalayak awam, mengekori langkah yang sama dilakukan oleh kerajaan negeri Melaka, Johor, Selangor, Penang, Kedah, dan Sarawak.

Langkah ini menurut saya bertujuan baik memandangkan Melaka memiliki komposisi kaum dan aneka kepercayaan yang berbilang. Meskipun langkah Adly ini diasak oleh PAS dan sesetengah penggemar Naik, Adly tegas menyatakan pendakwah kontroversi itu sedang disiasat Bukit Aman selepas laporan polis dibuat terhadapnya susulan kenyataannya terhadap masyarakat India dan Cina di negara ini.

Ketika itu Naik sedang disoal siasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Saya masih ingat, beberapa orang Melaka yang bukan beragama Islam menyatakan pujian atas ketegasan itu.

Ketiga, satu kemelut yang sering dialami oleh rakyat Melaka ialah isu air. Saya tidak ingat ada mana-mana Ketua Menteri Melaka yang benar-benar serius untuk menyelesaikan krisis air di Melaka baik ketika zaman Ali Rustam, atau Idris Haron. Masalah ini benar-benar berulangan.

Pun, sebaik Adly menjadi Ketua Menteri, saya sering mendengar pujian atas inisiatif yang ingin beliau lakukan (malangnya tidak sempat direalisasikan dek dijatuhkan oleh pengkhianat dalam kalangan parti Bersatu).

Usaha Adly ini saya fikir menunjukkan kreativiti beliau dan kepakaran sebagai jurutera yang beliau manfaatkan sepenuhnya.

Antara idea Adly ialah untuk menaik taraf loji rawatan air Merlimau dengan melakukan beberapa kerja penyambungan paip sehingga ke Semabok. Pembesaran Loji Merlimau ini akan membolehkan peningkatan bekalan air terawat di selatan Melaka. Adly mengharapkan bantuan kerajaan persekutuan untuk meningkatkan kemampuan loji tersebut sehingga 110 juta liter air sehari untuk penduduk Semabok dan bandar raya Melaka.

Idea kedua beliau ialah agar dibina paip dari Melaka ke Sungai Gerisek di Muar, Johor bagi meningkatkan pengambilan air sebanyak 220 juta liter sehari berbanding pengambilan sedia ada 220 juta liter. Juga, Melaka mengharapkan peruntukan untuk membolehkan air diambil dari Sungai Kesang di Muar. Bukan itu sahaja Adly merasakan keperluan untuk memanfaatkan air mentah dari Sungai Linggi di Alor Gajah memandangkan air Sungai Linggi itu hanya mengalir ke laut dan tidak benar-benar dimanfaatkan.

Dalam masa yang sama, Adly selaku Ketua Menteri Melaka mengusahakan agar negeri itu menerima bekalan air pukal berjumlah 12 juta liter sehari daripada kerajaan Negeri Sembilan menerusi satu perjanjian persefahaman. Berdasarkan perjanjian itu Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) membeli bekalan air bersih terawat daripada Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) pada harga RM1.40 per meter padu bagi kawasan di sempadan negeri Melaka. Kawasan negeri Melaka yang terlibat ialah kebanyakannya daerah pedalaman yang rata-rata penduduknya memuja parti Umno, iaitu antara lain Pulau Sebang, Jambatan Lubok China, Kuala Linggi, Kendung, Titian Bintangor, Pondoi, Batang Melaka, Sungai Rambai, Chohong, Tangkak dan Simpang Bekoh.

Usaha-usaha Adly ketika menjadi Ketua Menteri Melaka yang singkat ini memang mengesankan jiwa kebanyakan rakyat negeri Melaka termasuk mereka yang biasa dengan Umno. Sebagai pengundi di Melaka, memang saya boleh menyatakan sedemikian. Malah ketika Adly dijatuhkan oleh kumpulan pengkhianat di negeri itu, saya masih ingat laporan lintas langsung sebuah saluran berita menyatakan beliau dihormati kawan dan lawan.

Ketika PH tumbang, Ketua Pembangkang Melaka, Idris Haron terang-terangan memuji Adly Zahari yang menurutnya memiliki karisma tersendiri dalam menerajui kerajaan Melaka. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu, menyatakan adalah kerugian besar kepada rakyat Melaka kerana kehilangan Adly. Bahkan Idris dalam satu hantaran media sosial mengulas Adly sebagai “pemimpin yang berkaliber dan berkualiti tawaduk dan rendah diri, sejenang bersamanya cukup bernilai dan bermakna, walaupun dari sudut yang berbeza”.

Saya berpendapat sekiranya Melaka benar-benar akan menempuh sebuah Pilihan Raya Negeri, sumbangan dan jasa Adly yang memang terpahat dalam ingatan rakyat Melaka mungkin akan boleh diterjemahkan dengan baik menjadi satu kemenangan untuk gabungan Pakatan Harapan. Harus diingat, iklim politik hari ini sudah berbeza memandangkan hubungan Umno dan Bersatu sudah rapuh, selain ada pula keintiman antara pemimpin PH dan PN di peringkat persekutuan. Pejuang mungkin sahaja boleh mencelah dan meraih perhatian di kawasan pedalaman yang ramai pengundi Melayu. Pertembungan beberapa penjuru di sebuah negeri yang komposisi kaumnya seakan mini Malaysia.

Prestasi Idris Haron, bekas Ketua Menteri Melaka tidaklah juga buruk; yang mana jika Adly dan Idris berganding tenaga, Melaka boleh benar-benar dibangunkan dan makmur, dengan syarat tidak ada api dalam sekam.

Negeri Melaka hanya mempunyai enam kawasan Parlimen dan 28 kawasan DUN.

Dalam PRU14 calon BN hanya memenangi 13 buah kerusi DUN berbanding 21 kerusi pada PRU13. Manakala baki 15 buah kerusi pula jatuh kepada calon PH iaitu tambahan tujuh kerusi berbanding PRU13. Tujuh kerusi DUN yang jatuh kepada Pakatan Harapan adalah Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Paya Rumput, Kelebang dan Telok Mas ini kebanyakannya dimenangi dengan majoriti kecil.

Pada 2018, jumlah pengundi yang direkodkan di Melaka adalah seramai 495,645 orang. Pecahan jumlah tersebut ialah pengundi Melayu seramai 302,381 orang, Cina 154,793 orang, India 31,328 orang, Bumiputera Sabah 1,316 orang, Bumiputera Sarawak 1,778 orang dan Orang Asli sebanyak 786 orang dan etnik lain 3,263 orang.

Satu “fakta seronok” yang mungkin perlu disentuh di sini ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam pernah kalah pilihan raya sebanyak dua kali dengan pemimpin PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin. Saya tahu itu kerana saya pengundi di sini.

Sumber – FMT