Penunggang motosikal lawan arus sebabkan Ducati terbabas tampil serah diri

Penunggang motosikal lawan arus sebabkan Ducati terbabas tampil serah diri

 

Penunggang motosikal melawan arus sehingga menyebabkan Ahmad Fadzil Omar Azzadin, penunggang motosikal berkuasa tinggi, Ducati Panigale maut terjatuh dari jejambat lebuh raya dalam nahas Rabu lalu, tampil membuat laporan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata lelaki berusia 41 tahun dari Kajang, Selangor yang berniaga makanan itu juga sudah dirakam keterangan ketika membuat laporan di Balai Polis Trafik Kajang.

Setakat ini, katanya, polis sudah merakam keterangan enam orang termasuk suspek berkait nahas kira-kira jam 1.05 tengah hari di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang itu.

Mohd Azam berkata, melalui keterangan, suspek memaklumkan pada hari kejadian dia tersesat ketika dalam perjalanan dari Ampang pulang ke rumahnya di Kajang.

Berikutan itu, katanya, suspek yang juga seorang peniaga makanan itu membuat keputusan memasuki jejambat Lebuhraya SUKE secara melawan arus sehingga menyebabkan berlaku kemalangan.

“Akibat pergeseran dengan motosikal mangsa, suspek juga terjatuh daripada motosikalnya.

“Selepas kemalangan, suspek terus pulang ke rumah dan hanya mengetahui mengenai insiden menimpa mangsa setelah menonton berita di televisyen dan hebahan di media sosial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, akibat kemalangan itu, suspek turut mengalami pelbagai kecederaan antaranya patah bahu kanan, patah jari kelingking selain luka pada bahu kiri dan kaki kanan.

“Sehubungan itu, kita turut merampas motosikal Yamaha milik suspek dan beberapa barang kes lain untuk siasatan.

“Buat masa ini suspek tidak ditahan kerana keadaan kecederaan yang dialaminya agak parah,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini polis sudah merakam percakapan enam saksi termasuk suspek dan siasatan berkait kes ini masih diteruskan.

Dalam pada itu, katanya, kedua-dua motosikal iaitu milik mangsa dan suspek akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.

Dalam kejadian berkenaan, Ahmad Fadzil, 62, dari arah Ampang dalam perjalanan memasuki susur keluar Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Ulu Kelang.

Menerusi satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, mangsa dilihat menunggang Ducati Panigale di sebuah laluan berselekoh cuba mengelak sebuah motosikal yang ditunggang secara melawan arus.

Bagaimanapun, motosikal mangsa terbabas melanggar penghadang sebelah kiri jalan dan sebelum mangsa terhumban dari atas jejambat lebuh raya pada ketinggian kira-kira 30 meter manakala motosikalnya terseret ke tengah jalan.

Mangsa yang parah, meninggal dunia di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.