Penunggang motosikal rempuh anggota JPJ punyai 8 rekod kes jenayah & dadah

Penunggang motosikal rempuh anggota JPJ punyai 8 rekod kes jenayah & dadah

 

Seorang penunggang motosikal rempuh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson menghala Port Dickson.

JPJ dalam satu kenyataan berkata, kejadian pada jam 11 pagi tadi pagi membabitkan penunggang jenis Yamaha Y125ZR yang telah melanggar sekatan jalan raya (SJR) dan merempuh anggota yang bertugas.

Penunggang motosikal rempuh anggota JPJ!

“Siasatan mendapati penunggang motosikal itu mempunyai dua (kesalahan) senarai hitam yang masih aktif dan telah diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 seperti berikut;

“Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh pada 18/07/2012 (di bawah) Seksyen 23 (1) APJ 1987; tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) di bawah Seksyen 26 (1) APJ 1987; dan sita di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987,” katanya.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat dan penunggang tersebut diserahkan kepada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Sebagaimana sedia maklum, JPJ telah melancarkan Operasi Khas Motosikal Tahun 2023 mulai 1 hingga 30 September di seluruh negara dan objektifnya ke arah mengukuhkan pembudayaan pematuhan undang-undang serta memupuk rasa bersalah apabila melakukan pelanggaran peraturan keselamatan jalan raya.

“Justeru, JPJ ingin menasihati orang ramai supaya tidak melarikan diri atau bertindak di luar jangka ketika berhadapan dengan Operasi Penguatkuasaan SJR,” ujar kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek yang berusia 25 tahun sudah ditangkap dan mempunyai lapan rekod membabitkan dadah serta jenayah.

“Suspek juga didapati tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh dan akan dibawa ke Mahkamah Port Dickson esok untuk proses tahan reman.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan.