Penurunan kes Covid-19 : Benarkah kerajaan menipu rakyat?

Penurunan kes Covid-19 : Benarkah kerajaan menipu rakyat?

Penurunan kes baharu COVID-19 ketika ini dikhuatiri tidak menggambarkan situasi sebenar pandemik itu di Malaysia.

Ia berikutan, jumlah saringan harian yang semakin berkurangan dan di bawah kadar disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pakar epidemiologi Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, berkata WHO menyarankan kes positif perlu kurang daripada lima peratus sebagai kayu ukur sesebuah negara berjaya mengawal wabak itu.

Bagaimanapun katanya, kadar positif harian di Malaysia adalah antara enam hingga lapan peratus sejak beberapa minggu lalu, melebihi kadar disyorkan WHO.

“Bermakna, jumlah saringan dilakukan tidak mencukupi. Berdasarkan data rasmi, kadar positif kes berbanding saringan di Malaysia melebihi kadar ambang yang disyorkan WHO, iaitu lima peratus.

“Ada ketikanya ia menghampiri 10 peratus, bermakna masih banyak kes yang tidak disaring.

“Persoalan ketika ini adalah sama ada penurunan kes harian dilaporkan menggambarkan situasi sebenar atau ia gambaran tidak tepat kesan penurunan jumlah saringan harian.

“Penurunan ujian ini juga berdasarkan pekeliling Kementerian Kesihatan (KKM) bulan lalu. Jika jumlah saringan menurun, sudah pasti bilangan kes positif yang dikesan berkurang,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Dalam pekeliling bertarikh 13 Januari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan pengesanan kontak hanya dijalankan ke atas kontak rapat yang bergejala sahaja, selain mengurangkan jumlah sampel yang diambil dalam satu kluster.

Bilangan sampel diambil juga bergantung saiz kohort iaitu bilangan keseluruhan individu yang terdedah dalam kluster berkenaan menurut pekeliling itu.

Sekiranya kurang 50 orang, memadai diambil 20 sampel; dan sekiranya melebihi 50 orang, memadai 30 sampel atau 10 peratus mengikut mana yang terendah.

Dalam pada itu, Awang Bulgiba menyarankan KKM membuat pemantauan kes COVID-19 di setiap negeri dengan mengambil kira kadar kes bagi setiap 100,000 penduduk, dan bukan bergantung pada jumlah kes harian saja.

Sekiranya kaedah itu digunakan, katanya, situasi jangkitan di setiap negeri dapat dilakukan secara lebih tepat dan terperinci, kerana setiap negeri memiliki jumlah penduduk yang berbeza.

Katanya, kerajaan akan mendapat gambaran jelas negeri yang berjaya mengawal jangkitan COVID-19, sekali gus boleh membuat dasar secara lebih berkesan, seperti membatalkan arahan rentas daerah dan negeri bagi kawasan tertentu.

“Misalnya, di Labuan ada kira-kira 100,00 penduduk, manakala di Selangor ada sekitar 6.8 juta penduduk. Satu kes COVID-19 di Labuan adalah sama kadarnya dengan 68 kes di Selangor.

“Maka, tidak adil jika dibandingkan satu kes di Labuan dan satu kes di Selangor secara langsung. Putrajaya ada sekitar 100,000 penduduk, tak boleh dibanding dengan Kuala Lumpur yang ada kira-kira 2.5 juta orang,” katanya. – BH