Penyanyi Malaysia jauh hati dengan peminat artis Kpop

Penyanyi Malaysia jauh hati dengan peminat artis Kpop

 

Penyanyi terkenal, Hael Husaini meluahkan rasa jauh hati dengan sikap pendengar muzik yang suka membuat perbandingan dalam menghargai karya artis pujaan mereka.

Menurutnya, walaupun belum ramai penyanyi Malaysia yang berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa, namun tidak perlulah sampai mencemuh.

Kenyataan ini dikeluarkan bagi mengulas lanjut isu pergaduhan antara peminat artis Kpop atau Korea dengan penggemar muzik tanah air.

Sejak media mengumumkan penganjuran konsert artis asal Korea, Blackpink di Malaysia, pengagum mereka sering ‘merendahkan’ penyanyi tempatan.

Katanya, penyanyi Malaysia termasuk Siti Nurhaliza tidak setaraf dengan artis pujaan mereka yang telah membuat persembahan di pelbagai negara.

Tanpa mereka sedar, tindakan mereka telah mengguris hati penggiat seni tanah air yang berusaha sehabis baik untuk mengharumkan nama Malaysia.

“Kami sedar diri. Jangan perkecilkan anak seni di sini. Walaupun ruang dan pentas kami kecil, cita-cita kami tetap besar ingin bawa muzik kita jauh mengembara bumi,” luah Hael.

Kenyataan Hael itu turut dikongsi oleh penyanyi, Ernie Zakri yang turut tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah peminat Kpop itu.

“Saya juga meminati Blackpink. Jauhlah nak dibandingkan dengan kami. Tetapi kami juga mempunyai impian yang besar. Jangan bandingkan kami dengan mereka.” Kata Ernie.

Mungkin peminat Kpop ini masih bayi ketika Siti Nurhaliza mencipta nama dan menerima anugerah dari serata dunia.