Penyelewengan penukaran status tanah rizab Melayu: Saarani sedia beri kerjasama pada SPRM

Penyelewengan penukaran status tanah rizab Melayu: Saarani sedia beri kerjasama pada SPRM

 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan penyelewengan penukaran status tanah rizab Melayu di negeri itu.

Menurutnya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permintaan daripada SPRM untuk memberikan keterangan.

“Tak ada masalah (untuk beri keterangan). Kita ikut, kalau SPRM panggil untuk memberi keterangan, kita beri keterangan sebab kita tak tahu tahun bila tapi saya menjadi exco kerajaan negeri dalam sepanjang tempoh itu bermula tahun 2004, 2009 sehingga 2018.

“Jadi kalau ia berlaku dalam tempoh itu, kalau panggil saya saya bersedia untuk memberi kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030 di Dewan Merdeka, Seri Manjung.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bahawa kemungkinan akan memanggil beberapa lagi saksi untuk memberi keterangan berhubung kes penipuan status tanah rizab Melayu seluas lebih 600 hektar di Perak pada 2012.

Untuk rekod, ketika tahun 2012, Saarani merupakan Exco yang memegang portfolio pembangunan luar bandar, pembasmian kemiskinan, perladangan dan kebajikan semasa Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjadi Menteri Besar Perak.

Saksi-saksi berkenaan termasuk bekas Exco kerajaan negeri dan petugas Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dalam perkhidmatan ketika itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri akan menambah keluasan Tanah Rizab Melayu di Perak.

Pada Julai tahun lalu, kerajaan Perak mengumimkan berjaya menambah keluasan tanah rizab Melayu (TRM) sebanyak 2,409.28 hektar membabitkan tanah-tanah kerajaan bernilai tinggi dan berpotensi dimajukan.

Penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan TRM di negeri ini meningkat kepada 955,587.8 hektar.