Penyelidik dakwa Gunung Padang di Indonesia mungkin piramid tertua di dunia

Penyelidik dakwa Gunung Padang di Indonesia mungkin piramid tertua di dunia

 

Piramid yang tersembunyi di sebalik bukit di sebuah pulau di Jawa Barat, Indonesia, berkemungkinan menjadi piramid tertua di dunia.

Penemuan itu didedahkan oleh pasukan penyelidik yang terdiri daripada ahli arkeologi, geofizik dan geologi yang termasuk pengarang Danny Hilman Natawidjaja dari Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional Indonesia dalam makalah yang diterbitkan bulan lalu dalam jurnal arkeologi antara disiplin ‘Archaeological Prospection’.

Gunung Padang, juga dikenali sebagai ‘gunung menjadi tempat pertapaan’ (mountain of enlightenment) itu terletak di puncak gunung berapi yang sudah musnah dan dianggap sebagai tapak suci penduduk tempatan.

Pada 1998, Gunung Padang diisytiharkan sebagai warisan budaya negara.

Pasukan pengkaji yang mendokumentasikan kajian tapak, menggerudi ke dalam pusat bumi, selain turut menggali parit dan mengambil sampel tanah.

Pasukan itu menggunakan radar penembusan tanah untuk mengambil imej bawah permukaan, penggerudian teras dan teknik penggalian ‘parit’.

Ia membantu penyelidik menjejaki lapisan pertama Gunung Padang, yang terletak lebih 30 meter di bawah permukaan.

“Kajian ini sangat mencadangkan Gunung Padang bukanlah bukit semula jadi tetapi pembinaan seperti piramid,” kata penyelidik dalam jurnal itu.

Selama ini, terdapat pertikaian pendapat dalam kalangan sarjana mengenai sifat bukit itu.

Ada berpendapat, ia piramid buatan manusia, sementara yang lain mengatakan ia adalah pembentukan geologi semula jadi.

Pasukan itu menemui Gunung Padang kebanyakannya dibuat oleh tangan dan menemui bukti struktur itu dibina secara berperingkat, mengambil masa beribu-ribu tahun.

Bahagian lama struktur piramid juga dibuat antara 14,000 dan 25,000 tahun, menurut pasukan itu.

Pasukan itu juga menemui bukti ‘rongga besar’ mungkin ruang tersembunyi, dalam piramid.

Melalui penyelidikannya, pasukan itu mendapati pembinaan tertua piramid itu mungkin ‘berasal sebagai bukit lava semula jadi sebelum dipahat dan kemudian diselubungi secara seni bina semasa tempoh glasier terakhir antara 25,000 dan 14,000 sebelum Masihi.

Ini menjadikan Gunung Padang berusia sekurang-kurangnya 16,000 tahun.

“Gunung Padang muncul sebagai bukti yang luar biasa, berpotensi menjadi piramid tertua di dunia,” kata pasukan itu.