Perak dahului kerajaan pusat agihkan 20 ribu peranti telefon pintar

Perak dahului kerajaan pusat agihkan 20 ribu peranti telefon pintar

Kerajaan negeri Perak akan mengedarkan 20,000 unit telefon pintar bagi program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) bermula Sabtu ini bagi membantu pelajar menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan mulai minggu ini.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata program itu dimulakan selepas mendapat maklumat pelajar yang layak daripada pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Bagi melicinkan proses pengedaran dan mengelakkan program berkelompok, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan telefon pintar melalui pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri mulai Sabtu ini. Diharap ia dapat membantu pelajar menjalani PdPR nanti,” katanya dalam sidang media maya hari ini.

Program TCS itu dilancarkan Februari lepas yang antara lain memberi manfaat kepada pelajar di seluruh Perak khususnya daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah (B40) selain membantu pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam sidang media maya itu juga, Saarani melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin yang bertujuan mengutip dana bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman Israel.

“Buat permulaan, mesyuarat kerajaan negeri Perak hari ini bersetuju menyediakan bantuan RM100,000 untuk disalurkan ke tabung tersebut dan akan disusuli dengan sumbangan daripada syarikat milik kerajaan (GLC) negeri.

“Tabung ini adalah tanda solidariti rakyat Perak tanpa mengira kaum dan anutan agama dalam menyokong bantahan dunia terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin,” katanya.

Jelasnya, bagi memastikan bantuan tersebut sampai kepada golongan sasar, kerajaan negeri meminta bantuan Ahli Parlimen Parit Datuk Nizar Zakaria sebagai pemimpin yang terlibat aktif dalam misi kemanusiaan ke Palestin untuk berhubung terus dengan pihak berkuasa negara tersebut selain melalui bantuan pihak Wisma Putra. – MK