Perbuatan curang, jalin hubungan sulit dengan rakan sekerja boleh kena tindakan tatatertib

Perbuatan curang, jalin hubungan sulit dengan rakan sekerja boleh kena tindakan tatatertib

 

Perbuatan curang, menjalinkan hubungan sulit dan memanggil rakan sekerja dengan gelaran ‘sayang’ atau ‘dear’ boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Menurut surat edaran daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 7 April lalu, perkara itu antara salah satu jenis gangguan dan kesalahan penjawat awam yang diperincikan surat tersebut.

Tambah kenyataan tersebut, perkataan atau ayat ‘sayang’ dan ‘dear’ yang diucapkan oleh mana-mana pegawai awam sehingga mengganggu mangsa dikategorikan sebagai kesalahan gangguan seksual secara lisan atau audio.

Bagi kesalahan gangguan seksual secara fizikal atau sentuhan pula melibatkan perbuatan seperti menyentuh, memegang, raba, cium, cubit, usap, peluk, merapati dan lain-lain oleh penjawat awam.

Selain itu, tindakan penjawat awam yang menghantar gambar tidak senonoh serta mesej berbaur seks atau ‘sexting’ menerusi platform seperti WhatsApp dan seumpamanya akan dikategorikan di bawah gangguan seksual visual.

Ulas surat berkenaan, semua kesalahan itu boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan 4A Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Dalam pada itu, ketika dalam proses membuat aduan, mangsa perlu memaklumkan kesan akibat gangguan terbabit secara terperinci seperti menyebabkan fikiran terganggu, perasaan kurang senang atau rasa terhina.

Maklumat termasuk tempat, masa dan tarikh kejadian, selain tempat bertugas ketika kesalahan itu berlaku juga perlu dimaklumkan oleh mangsa dalam aduan berkenaan.

Surat daripada Bahagian Naik Pangkat dan Tatatertib SPA itu turut menjelaskan bahawa penjawat awam yang terlibat dalam hubungan sulit juga dikategorikan sebagai kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Sementara itu, kesalahan lain yang dinyatakan dalam surat yang sama termasuklah tidak hadir bertugas, tidak ketik kad perakam waktu, mengemukakan sijil cuti sakit palsu, penyalahgunaan dadah, membuat penyataan awam di media sosial dan kesalahan perolehan.

Hukuman bagi setiap kesalahan pula akan ditentukan Lembaga Tatatertib berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, sama ada amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau buang kerja.