“Pergi kedai tengok mahal saya letak balik”, Khairul Aming pilih untuk bebas hutang dan simpan duit

“Pergi kedai tengok mahal saya letak balik”, Khairul Aming pilih untuk bebas hutang dan simpan duit

 

Khairul Aming pilih bebas hutang dan simpan duit. Jutawan muda yang juga cukup terkenal dalam video masakan, Khairul Amin Kamarulzaman menerusi perkongsian terbaru yang tular di aplikasi TikTok menjelaskan dirinya lebih gemar memilih kehidupan bebas hutang dengan mengamalkan konsep penyimpanan duit yang selesa dan mempunyai jaringan keselamatan kewangan kukuh.

Malah Khairul juga memilih untuk melabur dalam perniagaan sambal yang diusahakan.

Tidak seperti jutawan lain, Khairul turut mendedahkan Cuma satu pinjaman wang daripada bank yang dimilikinya adalah kereta peribadinya, Perodua Bezza.

“Saya memang jenis suka melabur dalam bisnes, duit daripada bisnes akan berkembang untuk bisnes semula.

“Bab bisnes saya tidak berkira, contoh jika staf nak pakai atau beli mesin ini, okey beli. Tetapi kalau saya nak beli barang sendiri, pergi kedai ini, tengok mahal, saya letak balik,” kongsinya.

Malah Khairul yang masih bujang itu turut menyatakan lebih suka membuat pembelian aset yang memberi pulangan wang semula seperti mesin sambal baik berbanding membeli kereta atau rumah mewah.

“Saya nak tidur tenang, itu saja. Sudah enam tahun tak cukup tidur, berhempas pulas buat benda ini (perniagaan). Tapi nak kata tidur tenang, tidak juga sebab ada tanggungjawab baru.

“Saya kena fikir yang baru pula iaitu jaga prestasi perniagaan, pendapatan dan staf sebab saya jenis tak boleh duduk diam.

“Kalau untung rendah, saya akan buat sesuatu untuk menaikkannya semula, buat video atau apa-apa sahaja,” sambungnya.