Peringatan bagi yang nak kahwin di Siam, pernikahan anda tak diiktiraf jika tak daftar dengan Jabatan Agama

Peringatan bagi yang nak kahwin di Siam, pernikahan anda tak diiktiraf jika tak daftar dengan Jabatan Agama

 

Pernikahan pasangan tempatan di luar negara tidak diiktiraf undang-undang jika tidak didaftarkan dengan jabatan agama di negara ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata walaupun pernikahan itu sah di sisi Islam, setiap pasangan yang gagal mendaftar tetap tidak diiktiraf, sekali gus akan menimbulkan pelbagai masalah lain pada masa akan datang.

Beliau berkata, pernikahan di negara luar seperti Thailand dan Indonesia serta tidak didaftarkan, bukan sahaja akan menyusahkan pasangan itu, malah memberi masalah kepada anak pasangan terbabit.

“Masalah akan timbul apabila anak mereka ingin berkahwin. Mereka perlu ke mahkamah untuk mengesahkan perkahwinan dan juga membayar denda, malah ada situasi yang memerlukan pasangan untuk bernikah semula. Masalah juga mungkin timbul dalam urusan pembahagian harta kelak.

“Setakat ini di Selangor, kami memang tidak mengiktiraf perkahwinan begini. Keadaan ini masih terkawal, tidaklah terlalu ramai rakyat Selangor yang ke luar negara untuk berkahwin,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menyempurnakan pelepasan Program Sumbangan Pasca Banjir MAIS serta anak syarikat ke Terengganu dan Kelantan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, mereka yang berkahwin di luar negara seperti di Thailand dan Indonesia, mungkin menghadapi masalah untuk berkahwin di sini.

Beliau berkata, kebiasaannya mereka yang berkahwin di Indonesia dan Thailand adalah kerana ingin berkahwin lebih daripada satu tetapi takut untuk meminta izin daripada isteri.

“Apabila isteri di sini tidak tahu, tiba-tiba keluar dalam akhbar, suami sudah bernikah di Thailand ataupun Indonesia. Mereka berasa tersinggung dan kecil hati dan boleh meminta cerai daripada suami, “katanya yang tidak menolak kemungkinan perkahwinan di luar negara boleh menyebabkan perceraian.

Ditanya mengenai pakej perkahwinan di luar negara, termasuk Thailand dan Indonesia, yang tersebar luas di media sosial ketika ini, Abdul Aziz berkata, MAIS tidak mengiktiraf pakej sebegitu, malah menegaskan, prosedur perkahwinan di Selangor sudah cukup mudah.

“Saya juga ada mendapat maklumat mengenai pakej perkahwinan ini, yang ditawarkan pada harga RM1,000 dan RM2,000. Ia tidak diiktiraf. Malah, mereka yang bernikah di luar negara perlu ke mahkamah dan membayar denda untuk mendaftarkan perkahwinan

“Ruang untuk bernikah di Malaysia terbuka luas dan prosedurnya mudah. Kita juga mengadakan kursus perkahwinan yang tidak dilakukan oleh mana-mana negara, paling kurang pun mereka bertanya soalan rukun nikah atau tiada apa-apa yang lain.

“MAIS menyediakan jurunikah yang berdaftar di setiap daerah dan mukim. Pasangan juga akan dibantu oleh MAIS untuk dimaklumkan mengenai prosedur perkahwinan,” katanya.

Terdahulu, tawaran pakej perkahwinan di luar negara seperti Thailand, tersebar luas susulan perkahwinan kedua pengarah terkenal, Syamsul Yusuf dan pasangannya, Ira Kazar, di negara jiran itu, baru-baru ini.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, MAIS menyumbangkan bantuan kewangan dan bahan makanan asas berjumlah RM200,000 bagi meringankan beban mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Katanya, MAIS menyalurkan RM125,000, manakala baki RM75,000 disumbangkan oleh anak syarikat dan agensi kelolaanya iaitu Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Universiti Islam Selangor (UIS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Bakti Suci Holdings Sdn Bhd (BSHSB) serta Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS).

Sumbangan itu disalurkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).